Emosi yang cerdas
Pagi itu bukan pagi yang mudah. Mahu saja Amir memuntahkan kemarahannya. Isterinya, Solehah di sebelah diam tak terkata. Terus laju dia masuk ke dapur selepas mengelap sisa-sisa kopi yang tumpah di atas meja, mengutip cawan dan piring yang berserakan.
Amir diam, dahinya berkerut. Dadanya terasa sesak, kepala terasa panas. Ringan saja tangan mahu diayunkan kepada Hasbullah, anak kecil 3 tahun yang baru saja menumpahkan kopi pada pelan bangunan yang baru disiapkan susah payah semalam. Hasbullah, sedar akan kemarahan bapanya, terkulat-kulat di hujung meja. "Kan mama dah cakap, duduk diam-diam tadi." bisik Solehah pada Hasbullah, kesal.
Apakah kesudahan nasib Hasbullah?Adakah dia akan...1. Dipukul Amir sekuat-kuatnya sebagai balasan atas kedegilan dan kenakalannya?
2. Dipukul Amir pada tapak kaki dengan rotan, sebagai syarat, tanda mengajar yang dia sebenarnya melakukan satu kesalahan yang tidak wajar diulang lagi.
3. Dibiarkan Amir, kerana dia masih budak tidak mengerti apa-apa pun.
Kejadian tersebut mungkin satu hal yang kecil, tapi apa agaknya kesannya terhadap peribadi Hasbullah 20 tahun kelak?
Dari pilihan 1,Hasbullah mungkin jadi seorang lelaki yang dominant. Dia tidak suka dibangkang, keras kepala dan merasakan dia saja betul. Atau mungkin dia menjadi seorang yang tidak yakin diri, sentiasa malu dan tidak mampu untuk bercakap di khalayak ramai. Mungkin dia membesar, menjadi seorang anak yang gerun terhadap ayahnya, atau mungkin juga, berdendam.Mungkin.
Dari pilihan 2,Hasbullah membesar sebagai anak yang baik. Dia tidak perlu lagi kata mak ayah untuk melakukan sesuatu sebab dia bijak menimbangkan sendiri. Tiap keputusan, tindakan yang diambil, akan dikira pahala dan dosa. Sebagai pemimpin, dia lebih adil dan sentiasa mengambil inisiatif untu mendengar pandangan pihak yang berlainan.Mungkin.
Dari pilihan 3,Hasbullah tidak boleh dilarang langsung. Setiap kehendak, perlu ditunaikan. Kereta, telefon bimbit, laptop semuanya hendak yang canggih-canggih sahaja. Dia tidak tahu yang mana keperluan dan yang mana kemahuan. Kepimpinan? Dia berat sebelah, keputusan yang dibuat mesti menyebelahi kawan-kawannya. Kronism.Mungkin.
Kecerdasan Emosi; Satu KeperluanKenapa saya mewujudkan situasi ini? Inilah yang dipanggil Kecerdasan Emosi atau Emotional Intelligence.(EQ)
Psikologist Peter Salover menyenaraikan EQ sebagai kualiti yang membolehkan seseorang memahami perasaan orang lain, empati, dan kebolehan menguruskan emosi agar seimbang dengan hidup. Copper dan Sawaf pula mendefinisikan EQ sebagai kebolehan merasa, memahami dan menggunakan kekuatan dan ketajaman emosi dengan berkesan sebagai satu sumber tenaga, maklumat, hubungan dan pengaruh.
Sebenarnya Al-Quran telah menitik beratkan hubungan sesama manusia sejak awal lagi, jauh lebih awal sebelum EQ diistilahkan.“Berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu” (QS. Al-Qasas: 77).Emosi kita memberi kesan kepada sekelilingBerbalik pada situasi, Amir dan Hasbullah. Kegagalan Amir menguruskan EQ, bakal membuatkan Hasbullah menjadi seorang dewasa yang gagal. Bagaimana pula dengan Hasbullah? Dia bukan mangsa kegagalan ayahnya, bahkan dia sendiri mempunyai kawalan terhadap diri sendiri. Dia sendiri berupaya merubah corak hidupnya, meskipun mungkin di awal hidupnya banyak dipengaruhi oleh ajaran Amir. Bagaimana dengan kita, sedar atau tidar, perangai kita sendiri membawa pengaruh pada peribadi orang sekeliling kita. Kita kedekut, orang lain kedekut balik. Kita pemarah , orang lain lagilah marah. Sedar tak, yang orang sekeliling kita, adalah cermin kepada diri kita sendiri?
Dalam Islam, pembangunan insan sangat dititik beratkan. Apa gunanya, kalau kita berjaya sebagai manusia, tapi tidak sebagai insan? Kalaulah dalam segerombolan kambing, hanya satu yang cantik bulunya, gemuk dan bermutu dagingnya, yang lain kurus, berkudis dan sakit, adakah kita anggap gerombolan kambing itu berkualiti? Kambing yang bermutu itu tidak akan dapat merubah apa-apa.
Sebab itu, dalam ummah, kita perlukan "kambing-kambing yang cantik bulunya, gemuk dan berkualiti" tadi. Bagaimana hendak dapatkan ramai "kambing-kambing berkualiti" ni?Mestilah dari penjagaan yang rapi.Lalu apatah lagi untuk melahirkan golongan manusia yang berkualiti.Sudah semestinya perlu didikan yang mantap sedari kecil lagi.
Apa peranan golongan yang berkualiti ini dalam masyarakat? Mereka sebagai guru, sebagai pemimpin, sebagai doktor, sebagai suri rumah, sebagai tukang jual sayur sekalipun. Bayangkan, kita berada dalam kelompok yang-orang yang tinggi EQnya, bayangkan, betapa harmoninya kehidupan kita. Sesak di trafik jam, boleh berbalas senyuman dengan kereta sebelah, lambat menunggu giliran di hospital kerajaan, kita boleh ucapkan syukur diberi lebih masa untuk berzikir.
Memetik kata-kata Al-Razi, seorang sufi tersohor benua Asia,
"Hendaklah engkau pelihara 3 perkara yang menjadi panduan orang mukmin iaitu, jika engkau tidak dapat memberi manfaat kepadanya, maka janganlah engkau susahkan dia. Jika engkau tidak suka akan dia, maka janganlah engkau mendukakan dia. Dan jika engkau tidak hendak memuji dia, maka janganlah engkau mencela dia."Semoga kita sama-sama menerima manfaat dari pengurusan EQ yang berjaya.
Salam,