Awas! Ramalan Sotong Boleh Membawa Kufur..
Di pagi yang hening ni.. dipanjangkan tulisan sahabat saya.. nauzubillah.. moga kita dijauhkan daripada perkara-perkara yang keji dan mungkar.. amin..Assalamu'alaikum wbt dan salam hormat. Sekadar tazkirah ringkas di ruang forum ini. Firman Allah S.W.T di dalam ayat 65, Surah An-Naml maksudnya: "Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati)."
Disebut juga di dalam hadith Riwayat Imam Muslim, maksudnya: "Barangsiapa yang mendatangi tukang tenung, lalu dia menanyakan tentang sesuatu, tidak diterima Allah solatnya selama 40 malam."
Disebut juga di dalam hadith lain oleh Imam Ahmad, maksudnya: " Barangsiapa mendatangi tukang ramal atau tukang nujum / bomoh / dukun lalu membenarkan kata-katanya maka sungguh dia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad."
Itu adalah antara dalil-dalil larangan mendatangi, bertanya serta meminta ramalan akan sesuatu perkara. Menerusi Buletin Utama TV3, masyarakat kita telah dihidangkan ramalan sotong kurita bernama Paul dari Jerman berkenaan pasukan mana yang akan menang jika melibatkan perlawanan dengan pasukan Jerman.
Sekiranya pertama kali tertonton ramalan itu, janganlah mempercayainya. Kemudian, janganlah ternanti-nanti ramalan berikutnya oleh sotong kurita itu kerana ia boleh menyebabkan kita jatuh ke lembah kekufuran. Menang kalahnya pasukan Jerman, apa kaitan sotong itu dengan perlawanan bola sepak? Maka ramalan begini adalah tertolak.
Sotong itu tidak mengetahui perkara ghaib. Perkara pada masa akan datang hanya Allah saja yang tahu. Jika benar pun ramalan-ramalan yang tidak berdasarkan sebab zahir sesuatu perkara itu terjadi, harus ianya adalah daripada bangsa Jin yang mencuri-curi dengar berita langit.
Di dalam hadith Riwayat Imam Muslim disebutkan, maksudnya: Dari 'Aisyah, dia berkata; "Aku pernah bercerita kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, bahwa para tukang tenung berkata begini dan begitu dan kadang kami lihat kenyataannya memang benar." Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: " Kata-kata yang benar itu ditangkap oleh bangsa jin, lalu dibisikkannya ke telinga tukang tenung dan ditambahkan ke dalamnya dengan seratus kedustaan."
Sama-samalah kita menegur rakan-rakan kita yang telah terpercaya dan jatuh minat dengan ramalan si Paul. Perbanyakkan istighfar dan pelajarilah lagi, apa yang boleh menyebabkan akidah kita rosak dan bagaimana untuk menjauhinya. Selalulah berdoa dengan doa di bawah, yang diriwayatkan hadithnya oleh Imam Ahmad: اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu, agar tidak menyekutukan kepadaMu, sedang aku mengetahuinya dan minta ampun terhadap apa yang tidak aku ketahui.”
0 komen blog nie:
Post a Comment