Mas Kahwin vs Hantaran
Assalamu'alaikum wbt..
Dah lama saya ingin perkatakan tentang hal yang satu ini.. Rakaman rancangan Bicara Mualamat Radio Ikim.Fm pada hari Rabu, 23hb November 2011 yang boleh di lihat
di sini tentang isu mas kahwin dan hantaran menyuntik semangat saya untuk 'memperjuangkan' perkara ini.
Alhamdulillah isu ini juga mula diperkatakan oleh beberapa ustaz dan ustazah yang lain. Tidak hanya menjelaskan tentang "kadar mas kahwin yang berbeza antara negeri", memberi rasa tidak faham bagi yang tidak tahu hal agama dan rasa "oklah tapi hantaran tetap tinggi" bagi bakal suami.
Saya sebenarnya tidak tahu tentang besarnya isu ini di mata masyarakat Malaysia.. kerana kebetulan tidak timbul isu mas kahwin di kalangan saudara mara yang berkahwin, ada juga yang berkahwin dengan mereka di luar negeri Kelantan namun bakal ahli keluarga baru tidak mempersoalkan ketegasan pihak keluarga kami menetapkan hanya wang mas kahwin diterima oleh keluarga kami beserta barang-barang hantaran sampingan yang diletakkan atas dulang.
Terdahulu, di hari pertunangan aina juga, pihak keluarga abang bertanya soalan, "Berapa nilai hantaran?" ayah long dan ayah aina hanya menjawab, "Kami tidak kisah, ikutlah kadar kemampuan bakal suami. Cuma..... (-mood terdiam seketika-) saya mau agar semua wang yang ingin diberi dijadikan mas kahwin, cukup sekadar itu, kami tidak terima wang hantaran.." Keluarga abang yang hadir hanya terdiam, masa itu keluarga aina pun tidak tahu, diam tanda faham atau sebaliknya. Anggukan dan senyuman diterima, jadi orang-orang tua di sebelah pihak keluarga kami hanya menyambutnya tanda pihak lelaki bersetuju.
Alhamdulillah, syukur ia tidak menjadi satu isu besar walaupun baru pertama kali berlaku sebegitu. Lumrah agaknya, berkahwin dengan pasangan dari negeri timur, begitulah caranya. Tiada wang hantaran, hanya mas kahwin. Syukur kerana pihak lelaki menyambut 'cara' kami dengan gembira.
Namun, di hari pernikahan kami, bila akad disambut oleh bakal suami, terdengar bisikan2 kecil di belakang (kalangan rakan taulan) "Kalau mas kahwin pun dah banyak ni, wang hantaran pulak banyak mana ye? kalau sama, bergandalah!" bila cerita itu sampai di telinga saya, sedih rasanya. "Masih ada yang janggal tentang ilmu agama rupanya", bisik hati menenangkan diri.
Setelah berkahwin dan berbincang dengan abang, barulah saya tahu itulah kali pertama berlaku di kalangan beliau dan teman-teman rapatnya. Dan setelah mencari info, barulah saya tau juga bahawa 'besar dan tinggi' nya nilai hantaran berbanding mas kahwin di kalangan masyarakat kita. Ya Allah... hati terfikir bagaimana saya nak pertahankan perkara ini bila tiba masa anak kami akan dinikahi satu hari nanti..
"Adakah ini adat negeri kelantan..?"
"Kalau orang susah, macamana pula...?"
Soalan yang sering diajukan kepada saya bagi mereka yang tidak berpuas hati dengan 'cara' kami.
"Ini soal agama, bukan adat.." -> namun kerana cetek agama, saya tidak mampu berbahas menggunakan nas Al-Quran mahupun hadith nabi..
"Nanti tak ada rasa tanggungjawab pulak bakal suami kalau tak da hantaran" -> kalau dijadikan mas kahwin tentu bakal suami akan lebih rasa bersemangat dan bertanggungjawab untuk cari rezeki bagi memberi hadiah (mas kahwin) yang dah tentu khas untuk bakal isterinya, kan?
"Tinggi martabat seorang isteri adalah yang rendah mas kahwinnya di kalanganmu.." -> rasanya semua orang pernah dengar, jika bakal suami tidak mampu, cukuplah sekadar memberi naskhah Al-Quran sebagai mas kahwin atau dalam lain-lain bentuk..
"Kenduri kahwin hanya untuk mewar-warkan tentang anak kita yang telah berkahwin dan mengelak fitnah, buatlah sekadar termampu." -> teringat saya, jemputan seorang ulama' untuk kenduri anak perempuannya, hanya jamuan makan pulut dan dibungkuskan nasi dan diedarkan untuk ahli2 masjid, betapa barakahnya perkahwinan anaknya. cakap2 orang? tak perlu fikirkan.. fikirkan tentang apa Allah kata, bukan manusia :)
Hati saya selalu berbisik, "Semoga isu ini akan dibangkitkan oleh para alim ulama'... semoga terbuka minda masyarakat dengan perbahasan yang telah diutarakan mereka.. ini isu agama, bukan adat.."
Jika bakal suami ada lebih wang, ingin membantu menampung perbelanjaan bakal isteri dan bakal mertua, eloklah kiranya 'perkara itu' berlaku antara bakal suami dan bakal isteri. Diberikan sebagai hadiah untuk membantu bakal mertua, tentu lebih menggembirakan hati bakal menantu yang tidak merasa beban dengan kaedah itu. Malah tiada unsur campur tangan di kalangan makcik-makcik dalam keluarga. Bayangkanlah perasaan 'takut', 'bosan' yang dialami oleh para lelaki sebelum meminang anak-anak perempuan kita, bagaimana kita hendak menangani isu buang anak dan seks bebas sedangkan perkara pokok ini tidak tangani terlebih dahulu. Kekuatan institusi keluarga yang kita bina bergantung kepada barakahnya permulaan kepada pembinaan keluarga itu (yakni akad nikah, kenduri perkahwinan dsb).
Dan... sebagaimana saya memperjuangkan tentang "Mengumpul sedikit wang untuk bersalin dengan Doktor Wanita di hospital Islamik" dan "Penyusuan susu ibu secara eksklusif sehingga 2 tahun", begitulah saya akan cuba memperjuangkan isu ini...
Nota :
"Mahar @ mas kahwin ialah pemberian yang wajib diberikan oleh lelaki kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya. Ia juga disebut sebagai mas kahwin. Hukumnya adalah wajib berdasarkan surah an-Nisa: ayat 4. Jumlah mahar yang wajib dibayar akan ditentukan oleh walinya jika perempuan itu masih kecil, tetapi sudah baligh atau janda boleh ditentukan oleh perempuan itu sendiri. Mahar boleh dibayar dengan pelbagai cara yang mempunyai nilai atau faedah tertentu berdasarkan persetujuan bersama seperti rumah, kebun, mengajar atau membaca al-Quran, mengajar ilmu agama, senaskah kitab al-Quran, sejadah sembahyang, pakaian sembahyang atau sebagainya. Malah ia boleh dibayar secara tunai, bertangguh atau berhutang. Jika mahar berhutang, suami wajib membayarnya setelah melakukan persetubuhan atau persetubuhan secara syubhah atau salah seorang mati. Jika suaminya mati, waris suami wajib membayarnya kepada ahli waris isterinya. Jika diceraikan sebelum bersetubuh, hutang mahar wajib dibayar separuh daripada nilainya kepada bekas isterinya, jika sudah dibayar tetapi belum bersetubuh, maka isteri wajib memulangkan separuh daripadanya. Jika isteri meminta fasakh, mereka belum bersetubuh, dan mahar masih berhutang, suaminya tidak wajib membayarnya. Jika sudah dibayar, bekas isteri wajib memulangkan kesemua jumlah mahar tersebut."
Assalam,