Featured

Thursday, November 22, 2012

Jom Pergi MAHA 2012 :)

Acara yang ditunggu-tunggu MAHA 2012 kembali.. hehe :) (Seronok sebab dah plan nak borong bnyk barang ;) )

Alhamdulillah setelah beberapa kali penganjuran MARDI, akhirnya MARDI diberi peluang untuk menjadi penganjur MAHA bagi tahun 2012.

Banyak produk pertanian dan macam-macam aktiviti yang akan diadakan, layari laman web MAHA untuk maklumat seterusnya ok..

Kepada mereka yang nak datang tu, nasihat saya..
- Pakai kasut / selipar yang selesa, tidak bertumit tinggi..
- Bawa barang-barang keperluan seminima yang mungkin (payung lipat, purse kecil sahaja, air botol mineral dll)
- Rancang perjalanan anda....
* sebolehnya datanglah awal untuk mendapat parking dan tidak tersekat dalam jammed..
* anak-anak diberi makan dan minum secukupnya terlebih dahulu untuk mengelak terlampau letih sesampai ke tapak MAHA,  
* lihat dan download map sebelum datang... rancang nak pergi mana dulu untuk mengelak keletihan dan rungutan :)

Saya menyarankan agar lawatan dibuat dalam 3 hari.. rancanglah aktiviti yang anda ingin sertai dan tapak pameran yang anda ingin lawati..

Paling penting, hormatilah dan ikuti arahan petugas, petugas-petugas adalah kalangan warga MARDI, fahamilah keletihan yang mereka alami, dan cuba bertolak ansur sekiranya ada apa-apa masalah, kerana dijangkakan pengunjung MAHA 2012 kali ini adalah 3 juta orang :-) Jujurnya saya tabik kepada semua petugas-petugas MAHA 2012 di atas komitmen dan kerja yang telah dilakukan oleh mereka.. :)

Jom pakat ramai-ramai pergi MAHA...! :-)

Assalam,

Thursday, November 08, 2012

Dah nak akhir tahun dah..

Assalam,
Gambar terbaru di I'dulAdha
Rindu nak berblog, tapi tak berkesempatan, dalam hati ada sedikit ura-ura rasa nak beli tab atau ipad rasa selesa nak online di mana saja, tapi situasi tak mengizinkan ditambah Insyirah yang agak rajin mengeksplore segala barang-barang ummi dan ayahnya, kami suami isteri pendamkan dahulu niat. Mungkin ada rezeki nanti termakbul hajat satu hari nanti, insyaAllah :)
Insyirah di I'dulAdha... dah tukar baju daa...
Agak sedikit letih dengan perpindahan rumah baru di awal bulan, kemudian minggu seterusnya saya buat keputusan untuk menawarkan diri ikuti kursus teambuilding di kem BTN Maran, Pahang. Masa tu kali pertama tinggalkan Insyirah, walaupun berat hati tapi saya paksa diri demi adiknya yang bakal lahir (seboleh mungkin saya akan cuba untuk tak tinggalkan anak kerana berharap penyusuan susu ibu dapat berjalan lancar nanti..) alhamdulilllah Insyirah ok.. Minggu ketiga kami sekeluarga pulang ke Kelantan menyambut AidilAdha, ada sedikit rasa excited sebab semua anak-anak mak balik kampung kali ni kecuali adik no 5 yang terpaksa batalkan di saat-saat akhir kerana keuzuran suaminya.. dan akhirnya minggu lepas saya terpaksa terbang ke Langkawi menghadiri mesyuarat.. Alhamdulillah Allah beri saya kekuatan walaupun perut dah semakin membesar dan kaki dah mula membengkak..

Tahun ni terasa masa sangat-sangat cepat berlalu, sekejap je rasanya dah nak akhir tahun.. harap-haranya dapat catch-up segala kerja yang mesti dibereskan sebelum akhir tahun (sebab tahun depan dah di bawah seliaan pegawai dan projek lain..) dengan jadual yang agak pack.. masih juga berharap agar dapat uruskan segala urusan peribadi, apalagi kalau bukan mendeko2 rumah, berjalan-berjalan dan persiapan untuk bersalin dengan lancar dan baik, terutamanya persiapan untuk penyusuan susu ibu... saya amat-amat berharap semoga halangan-halangan dan sejarah yang berlaku semasa Insyirah dahulu tidak lagi berulang, amin..

Assalam,

Thursday, October 04, 2012

Soalan cepumas... secepat ini?

Assalam anak ummi,

Hari ahad lepas kita pindah rumah baru, alhamdulillah.. ada tempat berteduh yg lebih selesa untuk Insyirah main dengan adik-adik Insyirah nanti, juga tempat yang lebih luas untuk ummi kemas hehehe.. hari Isnin ummi cuti, sebab tak larat sangat badan dah terlebih letih..

Sebab ayah dah terlewat nak hantar anak ummi sorang ni.. terjagalah dari tidur dan duduklah dengan ummi kat rumah.. mujurlah anak ummi ok aje tak mengada2... lately sangat banyak bertanya persis orang yang dah besar. Borak punye borak, tiba-tiba Insyirah tanya, "Ummi, Allah duk kat mana? Insyirah tak nampak pun..." terkejut + terkedu... tak sangka seawal usia ni Insyirah akan tanya soalan tu... hari Jumaat lepas, Insyirah ada bagi statement "Insyirah nak kawen dengan ummi, nanti ada adik dalam perut syirahh..." ummi dah terkejut daaa.. nak tergelak pun ada.. alhamdulillah ummi boleh jawab soalan-soalan seterusnya dengan 'baik' walaupun berpeluh juga dibuatnya! anak ummi.. anak ummi.... cuma.. yang soalan satu tu, nampak riak muka anak ummi macam tak berapa puas hati dengan jawapan ummi. Mujurlah... Insyirah tak bertanya lagi... hehehhee... tapi, ummi akan terus cari dan gali ilmu untuk jawab soalan-soalan mencabar anak ummi tu.... huhu.... :-)

Monday, October 01, 2012

Kediaman baru

Selamat Tinggal A-8-7...
Alhamdulillah.. setelah lama menanti, rumah kediaman milik sendiri akhirnya siap diubahsuai dan dalam proses untuk berpindah dari rumah lama. Hampir 5 tahun tinggal di kuarters, macam-macam yang telah dilalui. Ye la, nama lagi kuarters, blok kediaman tidak sama dengan blok-blok apartment lain yang ada di kawasan itu. Mungkin kerana namanya kuarters, tiada rasa pemilikan, kurang inisiatif untuk menjaga seperti kediaman sendiri. Kotor, dan lif selalu rosak selalu berlaku. Merasalah turun naik tangga 8 tingkat dengan perut yang besar kerana sarat mengandung sewaktu mengandungkan Insyirah dulu. Namun di situlah kebahagiaan hidup berumahtangga kami suami isteri tercipta, di situlah segala cerita suka duka awal 5 tahun pertama perkahwinan dicoretkan.. kami takkan lupakan memori tu.. (mood sedih... chewaah..)

End of 2011.. sewaktu pembinaan

Ahad lepas, akhirnya tarikh keramat itu tiba juga. Barang-barang rumah yang difikirkan hanya sedikit muat juga dalam lori yang besar (tu macam tanda barang banyak sebenarnya). Itupun abang dah berulang alik beberapa hari mengangkut barang-barang yang berkaca dan sensitif. Lepas angkut dengan lori, ada la juga beberapa trip lagi abang terpaksa ulang-alik bawa barang dari apartment ke rumah baru. Alhamdulillah rumah lama dan baru berdekatan aje, kalau jauh, jenuh juga dibuatnya hehe. Cuma menguruskan dan berpindah dalam tempoh sarat mengandung, besar juga cabarannya. Alhamdulillah Allah beri saya kesihatan yang agak baik untuk melakukan semua ni...

Sebenarnya, sejak saya mula berkerja di MARDI, target saya untuk beli rumah sendiri (sebab masa tu target pertama untuk beli kereta dah tercapai), jadi saya beli rumah untuk disewa dulu, dan tangguhkan dahulu beli rumah untuk diduduki kerana belum berkahwin. Bila berkahwin abang pula ada rezeki sambung pengajian dan menjadi guru, saya perlu bersabar menunggu abang untuk tunggu posting confirmation.. 3 tahun menunggu, alhamdulillah akhirnya abang ditukarkan ke SK BBB Fasa 2, dekat aje dengan rumah mak terus saya ajak abang survey dan beli rumah yang sesuai diduduki, risau harga rumah melambung lagi. Alhamdulillah rumah yang dibeli ni, pada masa tu, bila dengarkan harga, ramai yang kata mahal, tapi bagi orang yang tahu tentang nilai rumah tahu rumah kami adalah murah pada masa pembelian itu dengan bukaan, dan utiliti yang ada dalam rumah tu.. alhamdulillah ... :-)

Macam selalu, nak buat apapun, kena paksa diri buat research, survey agar tahu apa yang perlu dibuat dan tidak ditipu dan dapat harga yang patut. Sama juga bila nak beli rumah, nak renovate dan masuk rumah, kena dahulukan mana yang penting dan mana yang kurang penting. Banyak maklumat dan info yang boleh dapat daripada blog dan majalah-majalah.. Pesanan saya, paling penting perancangan, menabunglah dari awal.. jika nak berkahwin dulu kita dah mula simpan rm100 sebulan dan tak berhutang, sama jugalah dengan beli rumah baru.. barulah hidup terancang dan tidak terbeban. Buat dulu mana yang major, bagi saya tidak perlu tergesa-gesa membeli perabut baru, pakailah dulu apa yang ada, perabut beli sedikit-sedikit bila ada lebihan duit terkumpul ya :-)

Jutaan terima kasih kepada abang, mak dan ayah, adik-adik, sahabat handai yang membantu saya merealisasikan impian saya.. InsyaAllah jika panjang umur, jemputan untuk majlis kesyukuran yang akan diadakan pada hujung tahun ni akan menyusul, tarikhnya belum ada lagi, tunggu saja invitation di laman FB ya! Jumpa di rumah baru kami.. InsyaAllah :)

Nota Ummi : berat hati tinggalkan sahabat di rumah lama.. huhu...

Assalam,

Friday, September 07, 2012

Selamat Hari Raya Eidulfitri 2012 :-)

Assalam anak ummi.. lama betul ummi tak update jurnal anak ummi ni... ummi tak sihat beberapa bulan ni... Insyirah tau kan... dah 17 minggu ada adik insyirah dalam perut ummi ni.... ummi copy paste gambar-gambar sekitar hari raya yang ada ye... :-)
Ni gambar family kita berempat :-)
Ayah, Ummi, Insyirah, dan adik Insyirah dalam perut :-)
Ni gambar family besar sebelah ummi.. masa open house cik ti  ni..
Bakpo anak ummi tengok ayah gitu ... takut kena tinggal ehhh ;-)
Di rumah tok chik tere... :)
Highlight tudung baru yang comel.. tok ayah belikan tu.. express punya hehe
Nampak macam budak besar bila Insyirah duk molekk jer... 
Insyirah... my little princesss!!!

Monday, September 03, 2012

"Merdeka"kah Kita?

?

Sabtu lepas saya dan keluarga mertua menghadiri majlis perkahwinan adik ipar lelaki (tahniah Asri :).. selamat sudah.. hehe). Bila selesai dan pulang dari majlis, kami singgah di masjid untuk tukar lampin dan bagi Insyirah main-main sekejap di taman permainan berhadapan surau tersebut.

Leka temankan Insyirah bermain buai sambil lihat kereta yang banyak di jalan (masjid tersebut di tepi jalan raya sahaja) dan bacaan Al-Quran di masjid tanda waktu azan selanjutnya semakin hampir, saya terdengar bunyi seolah-olah dentuman yang kuat. Terus mata melihat ke arah kejadian. Seorang anak muda lelaki dan perempuan yang menaiki motosikal (tak pasti jenama apa) tergolek dan terpelanting ke arah belakang kerana dilanggar sebuah kereta dari arah jalan bertentangan yang ingin masuk ke perkarangan masjid.

Kereta yang terlanggar mereka terus masuk ke perkarangan dan meletak serta mematikan enjin kereta. Pintu sebelah hadapan terbuka, lalu keluarlah seorang lelaki tua yang kurang upaya (berjalan tidak sempurna terhenjut-henjut dan berbadan bongkok) berbaju melayu, bersongkok dan berkain pelekat berusaha untuk ke arah anak-anak muda yang jatuh tadi, mungkin rasa bersalah kerana 'pemandu' beliau melanggari mereka. Diikuti oleh seorang pemandu perempuan berpakaian telekung berbaju kurung serta anak kecil mereka berjalan laju ke arah mereka. Dan ahli-ahli jemaah masjid lain serta pekerja-pekerja Indah Water berpusu-pusu ke arah anak-anak muda itu.

Kedua-dua anak muda tadi telahpun bangun daripada 'perbaringan' mereka, duduk di penghadang longkang (jalan masuk) di tepi jalan. Setibanya lelaki tua yang tadi terhenjut-henjut berjalan, terus sahaja beliau menyapa dengan baik anak muda (lelaki) yang jatuh tadi.Tapi... apa yang terjadi,

Usahlah hendak menjawab salam dengan baik oleh lelaki tua tadi, diherdik dan dimarahi pula orang tua itu. Saya melihat anak muda perempuan pun sama, usahkan hendak menyambut salam yang dihulur oleh pemandu perempuan yang tidak sengaja melanggarinya tadi, dijeling-jeling dan dimarahinya pula. Setelah urusan bayaran dan penebusan dibuat, lelaki dan perempuan tua tadi beredar ke arah masjid kerana azan telah berkumandang. Sedihnya saya, melihat anak-anak muda itu.. lelakinya berambut panjang, pakaian seolah tidak terurus, percakapannya kasar, hanya anak muda perempuan itu sahaja yang 'agak elok' pakaianya... saya cuba berfikir positif, namun sebagai seorang manusia, terfikir juga ke mana anak-anak muda ini hendak pergi dengan pakaian sebegitu di waktu azan maghrib berkemundang...

Kejadian itu, berlaku sehari selepas tarikh hari kemerdekaan negara kita....

Merdekakah kita sebenarnya? Fikir-fikirkan..... :-)

Assalam,

Friday, August 31, 2012

Inilah Kuasa Cinta :-)


Lama sudah saya mendengar cerita ini, diceritakan oleh suami. Lama juga ingin berkongsi di blog ini, tapi asyik terlupa. Hinggalah pada suatu malam abang menunding jarinya ke arah seorang lelaki dan mengulangi cerita yang sama kembali..

Saya tahu walaupun ini hanya cerita ringkas, namun pada mana-mana hati yang mendengar, tentu merasa kagum dan terharu dengan apa yang didengar dan dilihat...

Seperti biasa, selesai solat berjemaah di surau, abang akan bersalam dengan semua jemaah dan meminta diri beransur pulang ke rumah. Namun bagi seorang jemaah lelaki ini, dilihat sering sahaja beliau terus bangun meninggalkan jemaah selesai sahaja doa yang dibacakan imam selesai. Sekali dua, tentulah tidak mendatangkan rasa hairan, namun tiap kali begitulah yang berlaku.

Satu hari, abang juga perlu bergegas keluar setelah selesai solat, sempat bertemu dengan lelaki itu. Tidak jalan 'berlenggang' seperti orang lain, lelaki itu laju saja langkahnya. Abang sempat mengikut langkahnya dan tanpa sedar spontan soalan keluar dari mulutnya. "Cepat jalan, bang.." tanya abang. "Isteri tengah tunggu kat rumah.." jawabnya. 

Kalau saya ditempat abang, saya dapat rasa ada sedikit rasa tak puas hati dengan jawapan lelaki itu..

Hari lain pula, akhirnya cerita sebenar diketahui juga. "Maaflah saya nak cepat isteri saya sedang tunggu untuk solat berjemaah dengan saya.." tenang tutur katanya. "Isteri saya disahkan lumpuh separuh badan, berkerusi roda tak dapat bangun sejak lahirkan anak kedua kami..saya kena memandikannya dan solat berjemaah dengannya."

MasyaAllah... besarnya pengorbanan lelaki ini... masih muda, namun dengan keilatan yang ditakdirkan untuk isterinya, sedikitpun tidak mengurangkan rasa kasih dan cinta di hatinya.

Benar kata orang, kita tidak tau sejauh mana kasih dan cinta seseorang kepada kita, sehinggalah terjadi sesuatu...  

Itulah kuasa cinta.. Allah mendidik hambaNya dengan ujian cinta.. jika cinta kepadaNya didahulukan, pasti kita akan dapat cinta makhlukNya, itu janji Allah!

Percaya dan Yakin pada Allah ya! :-)

Assalam,

Thursday, August 30, 2012

Selamat Hari Raya Idulfitri 1433 Hijriah

Gambar ihsan Mr. Google

Assalamualaikum..

Gambar raya masih tak ada yang sesuai untuk diupload. Satu-satunya gambar yang diambil dengan famili guna kamera kakak ipar pun masih belum dapat dilihat. Kamera sendiri pula.. terlupa dek kerana kesibukan melayan tetamu yang datang hehe.

Alhamdulillah, Allah berikan aina kesihatan untuk melalui perjalanan yang memakan masa. Paling gembira bila mula saja hari raya pertama, simptom-simptom trimester pertama mengandung beransur kurang, memberi saya peluang untuk membantu mertua bersiap sedia dengan kedatangan tetamu dan beraya rumah sanak saudara.

Tentang perjalanan.. tahun lepas dari Kelantan ke Gerik makan masa 7 setengah jam, tapi tahun ni perjalanan dari Gerik ke Kelantan makan masa 9 jam! nampaknya tahun depan kami kena cari plan lain.. hehe.. sesiapapun tentu tak suka habis masa di atas jalan, kan? Alhamdulillah Insyirah anak yang baik, tak banyak karenahnya..

Perjalanan balik dari Kelantan ke KL pula, bersama mak ayah dan adik ketiga. Sepatutnya ramai lagi yang turut serta, tapi kerana masalah masing-masing, adik kedua dan kelima tak dapat pulang ke kampung tahun ni. Kami pulang ke KL hari Sabtu lepas, hajat untuk bertolak awal pagi ditangguhkan kerana perlu selesaikan urusan tok ayah dan mek. Perjalanan dari Kg Padang Luas bermula jam 10.00 pagi, ayah decide untuk ikut LPT, dan akhirnya sampai di KL jam 10 malam.. Perjalanan santai, singgah sana sini (beli ikan, jalan-jalan tepi pantai dan beli keropok) jadi tak lah terasa sangat 'letih'nya.

Namun, walaupun dah ada lebuhraya, perjalanan melalui jalan lama Bentong-Kuala Krai yang berliku, dan macam-macam pengalaman yang telah dilalui, tetap di hati.... :-)

Assalam,

Wednesday, July 18, 2012

Join seminar celik momz

Alhamdulillah, dalam 'keriuhan' melayan diri sendiri yang tak berapa nak keruan dek alahan yang agak 'best' hehe.. Allah beri kekuatan dan kesempatan untuk hadirkan diri ke seminar celik momz anjuran assohwah.com.

Seronok.. kali pertama dapat berjumpa dengan Prof. Dr. Muhaya dan anaknya, Dr. Atiyah dan ibu-ibu yang positif-positif. Banyak ilmu bermanfaat dapat dipelajari dan rasa diri bertuah kerana kesempatan yang diberi. Cuma agak terkilan tak bawa abang dan Insyirah bersama, kerana tidak tahu kami para isteri dapat bawa suami bersama. Takpe.. saya akan usahakan untuk bawa abang pada Seminar Bahagia dan Membahagiakan pada bulan Oktober nanti, InsyaAllah.. semoga Allah beri saya kesihatan yang baik dan kekuatan untuk hadir ke seminar tersebut.. amin.. ya rabb.

Banner Seminar Bahagia & Membahagiakan seperti berikut..
Recommended untuk semua hadirkan diri, tak kira siapa anda. bujang, dah berkahwin dan apa jua status.. ilmu yang diberi pasti bermanfaat pada diri.

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, layari website assohwah.com ok.. pastikan daftar secara berkumpulan sebelum 12 september 2012 untuk tawaran harga menarik ok.. (saya tak dapat apa-apa komisyen pun.. sekadar menyebarkan perkara baik untuk dikongsi bersama heehehe... )

Assalam,

Tuesday, July 03, 2012

Kisah trimester 1 - part 1

gambar ihsan en. google

Assalam..

Berhasrat untuk update diari ni selalu, tapi tak berani nak janji pada diri sendiri kot2 datang angin tak larat dan tak nak update pula. Biasalah pembawaan ibu mengandung ni kadang macam-macam dan pelik..

Di awal kejadian mengandungkan Insyirah dulu, ummi demam hingga masuk hospital (satu hari satu malam jerr masa tu tak tahan bau hospital) pastu kena kencing kotor (buang air kecil yang disertai dengan darah menitis-nitis... sakit.. tuhan saja yang tau).. lepas tu yang betul2 dapat tau mengandung bila ayah demam seminggu.. kesian kat ayah.. tapi itulah namanya perkongsian hidup.. :-) agak sengsara untuk dapatkan kepastian diri betul-betul mengandung kerana UPT test tidak menunjukkan sebarang tanda positif hingga kandungan berusia 9 minggu! bertegang urat dengan doktor yang mengatakan saya sakit buah pinggang dan macam-macam lagi.

Kali ni, lain pula kisahnya.. perut rasa senak-senak seawal 4 minggu usia kandungan. walau hati kata 'mungkin ada' tapi mulut diam seribu bahasa. tak mahu membenarkan kata hati selagi tak terbukti, risau kecewa lagi kemudian hari. rasa letih dan penat tak terkata.. tiba-tiba saja angin amarah cepat aja menerjah diri. Alhamdulillah awal pula keputusan ujian UPT yang dijalankan di klinik..

Musim alahan bermula... tiba-tiba saja selera makan menjadi-jadi, dulu permulaan mengandung berat badan hanya 45kilo, kini permulaan 59kilo. agaknya berapa kilokah waktu nak melahirkan nanti. harap-harapnya tak menjadi-jadilah..

Tak larat.. busuk bau bilik air... busuk bau perfume yang selama ni dipuja kerana kewangiannya.. dan sangat susah nak mandi..
Pitam.. dan pening dan jadi kawan kepada diri..

Rasa kesian kat abang, serba serbi beliau yang kena kena uruskan.. anak dan rumah..
Ikut hati nak baring je selalu.... tidur.. tak lelap pula mata.

Namun syukur, abang sangat memahami.. sentiasa membantu tanpa keluh.. sentiasa senyum buat isterinya walau isterinya amat tahu kepenatan yang dialami.

Syukur juga, saya masih boleh memaksa diri untuk bangun dan pergi ke pejabat, berbanding ibu-ibu mengandung yang lain berulang alik keluar-masuk hospital dan tersadai kerana tidak berupaya..

Semoga Allah beri kekuatan ... aminn...


Assalam,

Wednesday, June 27, 2012

Alhamdulillah.. :-)

Cerita ni berlaku seminggu yang lepas, di sebuah klinik...

Doktor : Assalamualaikum, ye puan aina, ada apa saya boleh tolong?
Pesakit : Wa'alaikumsalam doktor, mm.. saya senak-senak perut, selalu pitam dan sakit kepala, lepas tu rasa  tak sedap badan..
Doktor : (mood senyum) Puan mengandung ke?
Pesakit : Ermm.. ? saya tak check pulak
Doktor : Ok, sebelum saya buat pemeriksaan lanjut, kita buat UPT dulu ye...
Pesakit : (tak sempat doktor nak teruskan ayat) Tapi doktor... anak saya yang pertama ni dulu (sambil tunjuk jari ke arah insyirah) 9 minggu baru nampak doktor.. bla..bla..bla..bla..
Doktor : Takpe, kita buat dulu, kalau betul tak mengandung, kita buat pemeriksaan lanjut ye puan. Puan jangan risau..
Pesakit : Ok (dalam nada kebingungan)

15 minit kemudian...

Doktor : Puan, cuba puan tengok betul2.. ada berapa garisan tu? (sambil tersenyum)
Pesakit : (menunduk ke arah bekas kecil) Hehe.... alhamdulillah... (tengok tu, tak jawab soalan)

Doktor : Ok, sekarang kita check details ya. bla.. bla.. blaa... Kandungan puan dah 6 minggu, puan dijangka bersalin pada 15 Feb 2013. Tahniah puan..
Pesakit : Terima kasih doktor.. (sambil senyum tersipu-sipu malu)
Doktor : Ok. saya akan bagi ubat bla..bla..bla...bla.. puan nak panggil suami masuk ke?
Pesakit : Tak pe, tak payahlah doktor

Doktor : Puan nak ke sample UPT ni?
Pesakit : Tak pe, tak payahlah doktor

Selepas habis sesi bersama doktor, pesakit keluar dengan keadaan gembira + kebingungan.. dan menyesal kerana tak ambil sample UPT yang doktor nak bungkus tadi.. hehe.

Alhamdulillah, saat yang ditunggu-tunggu selama ini telah tiba.. syukur tak terkata rasa gembira di hati. Setelah Allah uji kami sekeluarga dengan keguguran seminggu sebelum Hari Raya Idulfitri yang lepas.. setelah melalui zaman berpantang tanpa zuriat di sisi, kini kandungan telah mencecah 7 minggu 1 hari, doakan semoga perjalanan ibu mengandung ini selamat hingga bersalin..

Assalam,

Monday, June 11, 2012

Cerita wean-off susu ibu Insyirah


Alhamdulillah, setelah bercerai susu hampir 2 bulan saya bersedia untuk bercerita di diari ini.
Bagi yang nak tau cerita ceriti tentang wean off baby Annur Insyirah saya ceritakan di diary anak.
Harapan agar ia boleh dijadikan kenangan untuk anak yang disayangi.

Dalam diari ni khas tips yang saya dapat beri kepada yang telah/bakal bergelar ummi / ibu / mama / bonda.. dan lain-lain..:
1. Rancang dan set target bila ingin anak bercerai susu. Seelok-eloknya biarlah anak menyusu hingga 2 tahun dan barulah bercerai susu. Macam aina, memang hajat nak menyusukan anak 2 tahun 5 bulan, alhamdulillah termakbul, insyirah slowly 'beredar' dari tempatnya :)

2. 'Lepaskan' anak dengan redha, pengalaman aina membuktikan selagi ibu 'berat hati' untuk bercerai susu, walau secebis rasa, anak akan tetap menyusu, walalu luarannya nampak seperti kita 'nak' bercerai susu :)

3. Teruskan pemberian susu dengan susu kambing / susu lembu fresh / formula. Pengambilan susu secara berterusan amat penting bagi memberi khasiat kalsium yang secukupnya untuk tumbesaran otak anak-anak anda ok.

Assalam,

Proses cerai susu Insyirah

Ini entry yang dah lama.
Senyap seketika daripada di publish sebab ummi tak pasti insyirah betul2 nak wean-off ke tak.

Salam anak ummi..

Hari ni genap usia insyirah 2 tahun, 8 bulan, 3 minggu dan 6 hari. Minggu kedua April Tahun 2012, Insyirah mencatat sejarahnya yang tersendiri. Alhamdulillah sehingga artikel ini ditulis, sejak bulan itu, Insyirah dah tak minum susu ummi lagi.

Bercerita tentang tahap-tahap Insyirah nak bercerai susu, memang ummi mengaku tidak alami sebarang masalah.. ummi hanya biarkan semuanya berlaku secara semulajadi. Bukan ummi malas, tapi ummi nak Insyirah tau betapa besarnya kuasa Allah dalam setiap kejadiannya..

Dari awal lagi, ummi telah berhasrat dan berniat dalam hati hendak menyusukan Insyirah sebolehnya-bolehnya sehingga 2 tahun dan 5 Bulan. Genap umur Insyirah 2 tahun, ummi berhenti pam. Masa tu terasa betapa 'kosong'nya waktu. Kalau sebelum itu ummi terpaksa bergegas berkejar ke sana ke mari malah terpaksa mengundur diri daripada beberapa aktiviti semata-mata untuk pastikan ummi disiplin dalam mengepam. Terasa diri menggunakan masa 24 jam sehari yang Allah beri itu dengan sebaik-baiknya.

Jadi, setiap kali sampai di rumah waktu Maghrib, Insyirah akan menyusu dengan ummi selama dan sepuas yang boleh. Bukannya lapar hendak susu, tapi hendak bermanja! Ummi masih ingat lenggok mata anak ummi yang comel tu, sambil merengek2 nak dipeluk dibelai sambil disusukan. Maka ummi tetapkan untuk siapkan semua kerja rumah sebelum Insyirah dan ayah sampai di rumah, dan pastikan ummi solat Maghrib sejurus selepas masuk waktu untuk mengelak berlakunya 'kekecewaan' dalam diri anak comel ummi ni :)

Samalah juga, rutin sebelum pergi kerja, ummi pasti akan susukan insyirah sambil tunggu ayah panaskan engin kereta dan bawa kereta ayah ke garaj kereta. Rutin menyusu Insyirah yang lain seperti sebelum tidur, bangun di waktu malam dan di awal pagi dan di hujung minggu masih berterusan.

Namun, dengan kuasa Allah, setelah usia Insyirah menjangkau 2 Bulan 5 Tahun, secara automatik insyirah beransur-ansur kurangkan aktiviti rutinnya. Bermula dengan Insyirah dah tak mahu menyusu sejurus sampai di rumah waktu petang, kemudian tidak mahu menyusu sebelum ummi pergi kerja, tidak bangun malam, dan semakin kurang aktiviti menyusu di hujung minggu. Insyirah sendiri yang tidak mahu dan minta dibuat air susu coklat atau air kiwi (kordial). Insyirah berakhir dengan berhentinya rutin terakhir, iaitu menyusu sebelum tidur.

Allahu Akbar... besarnya kuasaNya menggerakkan hati dan naluri si anak kecil yang tidak tahu apa2. Semuanya berlaku secara semulajadi!

Maka para ibu, tidak perlu malu, tidak perlu segan, percayalah pada kuasa Allah, jika betul niat kita sebagai ibu, InsyaAllah akan dipermudahkan :-)


Wednesday, June 06, 2012

Jom ayah, pergi shopping!

Musim cuti sekolah kembali lagi. Macam biasa kalau ayah tak ada apa-apa hal atau kerja yang perlu diselesaikan, pasti ayah akan buat keputusan untuk tak hantar insyirah ke sekolah.

Ayah buat keputusan untuk jaga anak kecil yang comel itu sendiri. Ummi suka, alhamdulillah.. :)

Minggu lepas ada cerita lucu tentang ayah dan insyirah :)

Macam biasa, ummi dan ayah memang maklum bab berjalan, pergi kenduri dan shoppping boleh buat insyirah buka mata yang letih jadi segar semula! hehe.

Selasa minggu lepas, lepas insyirah bangun, dah siap-siap mandi, ayah nak ajak insyirah pergi ke pasaraya econsave beli barang dan lauk pauk.Kebetulan ummi telefon ayah ajak ayah shopping barang-barang dapur petang lepas balik kerja.

Jadi, ayah cancel ajalah rancangan nak pergi econsave.. Tapi... insyirah pula tuntut janji nak pergi shopping kat econsave.. lalu bermulalah cerita..

Ayah teringat nak cari seluar kat Billion, jadi ayah kata, "Jom la kita cari seluar kat Billion.." bila dah naik kereta, sampai di simpang, ayah pula rasa malas nak pergi Billion yang jauh tu,jadi ayah kata, "Kita pergi Billion sini lah.." sambil memandu ke arah pasaraya belakang kompleks hentian kajang.

Tiba-tiba insyirah kata, "Ni bukan nak pegi Billion ayah.."

Ayah pula menjawab, "Kita pergi Billion ni dulu, ok"

Insyirah memintas.. "Tapi ayah, ni bukan Billion.. Billion kat sana.. jommlaaa" sambil jari menunjuk ke 'arah' Billion di belakangnya.

Terpaksalah ayah tukar haluan ke arah pasaraya Billion 'yang betul'. Sesampainya di traffic light taman tasik cempaka, insyirah berkata lagi "Haa...tu ha ayah, Billion.." ayah mengerut dahi dan mengangguk tanda akur dengan anaknya.

Owh insyirah... cerdiknya anak ummi... padahal ummi baru sebut sekali bangunan itu adalah 'Billion'..

Tak apalah nak, ia mengajar kami ayah dan ummi agar tak bercakap bohong.. :)

Tapi... yang paling menyeronokkan ummi, bila ayah cerita, "pijak je kaki kat Billion, insyirah kata, "aaa...bestnyee... sejuk aircond.."" heheheh... ayah geram sendiri dalam hati! ;-)

Bayi Tidak Mahu Minum Susu Dari Botol?

Gambar ihsan Mr. Google
Assalam,

Sedang asyik menyusun tajuk nak cerita dalam diary maya ni, saya dikejutkan dengan sms daripada seorang ex-student junior saya semasa di kolej dulu.. "Salam kak..saya ada mslh ni.. bb xnk isap susu btl..padahal susu tu susu sue.. sue perah..akak ade cadangan x?"

Maka inilah jawapannya..

Apa yang beliau(mungkin ibu-ibu lain juga) alami adalah rintangan yang biasa ibu-ibu menyusu alami bila nak train anak guna botol. Mungkin list-list kemungkinan di bawah boleh bantu beliau untuk cuba dan cari kaedah penyelesaian... paling penting ibu-ibu kena banyak sabar, cuba dan kuatkan minda dan hati.. InsyaAllah.. lambat laun ibu-ibu akan dapat jalan penyelesaiannya, ok... :)

So mari kita senaraikan masalah dan teknik penyelesaian yang mungkin

1. Nipple Confussion
Bayi sangat sensitif dengan bau ibu. Sejak dari keluar alam rahim baby akan menangis, bukan kerana lapar (fakta : bayi yang dibuang masih boleh hidup 3-4 hari tanpa bekalan makanan dan minuman.. subhanallah..) tapi kerana manjanya beliau. Sudah biasa dengan alam rahim yang sempit dan bila keluar tentulah hendak didakap mesra oleh ibu.. dulu disuap dengan tali pusat namun kini nipple ibu lah tempat yang paling selamat. Betapa besarnya kuasa Allah, memberi kebijakan sebegitu kepada bayi..

Dan kerana bijaknya baby kita, dia tahu membezakan antara yang original dan tiruan..

Mula-mula, kita kenalah bersyukur jika bayi kita menolak untuk minum dari botol.. itu adalah petanda pertama bahawa baby kita sudah boleh membezakan satu perkara :)

Mungkin teknik-teknik di bawah boleh kita;

a) Elak kita yang bagi EBM
- sebolehnya dapatkan bantuan daripada orang sekeliling seperti suami/ibu/bapa/ kakak atau orang lain yang boleh berinteraksi dengan baby untuk bagi EBM diperingkat awal. 
- sebab baby cerdik.. kenal bau kita, selagi ada bau kita selagi tu dia ngada2 nak direct feeding! ;-)

b) Try guna cup / picagari / sudu / penutup botol ubat (syringe)
- semua alat2 ni diguna sebagai kaedah permulaan untuk anak terima EBM
- ada yang bila dah ok boleh beralih ke botol pula, namun ada juga yang lebih suka teruskan guna alat yang ada tanpa guna botol untuk elak baby nipple confussion lagi.

c) Try n error cari puting yang sesuai
- bagi yang menggunakan botol, recommended puting untuk dicuba : tommie tippie / NUK / MAM/ Avent/ Dr. Brown
- puting-puting ni bentuknya seakan2 bentuk puting kita, cuma bau puting tu yang akan dipilih oleh baby..
beli satu produk, kalau tak boleh try produk seterusnya.. :)

d) Gunakan helah
Helah 1:
- biasanya baby masa dia mamai nak tido tu mungkin dia akan hisap jari, try tarik jari dia dan sumbat dengan botol. 
- ingin diingatkan bahawa kaedah ini perlu dibuat sekali nafas sahaja
- sebab biasanya kalau orang bising atau tegur dia akan lepaskan botol tu..

Helah 2: 
- baringkat baby atas peha, mengiringkan badan menghadap dada kita (posisi seperti nak bagi susu badan) selak baju dan jatuhkan pada area muka dia, then terus sumbat botol (nampak agak kejam tapi ia satu usaha berguna yang boleh diguna). cuba untuk kekalkan position supaya baby 'selesa'.

Macam-macam helah lagi yang boleh dibuat oleh para ibu dan orang-orang disekeliling.. ibu kena kreatif! :)

e) Susukan baby sebelum lapar / mamai
Saya quote cerita cikgu azleen dalam blog nya ok..

"Biasanya bayi akan tidur kan?
Bagi Afiah, biasanya beliau akan tidur lebih kurang 2 jam, dan bangun juga dalam tempoh lebih kurang yang sama.. Maksud saya 2 jam tidur, 2 jam jaga, tidur semula selama 2 jam, jaga lagi 2 jam, dan tidur semula.. Kecuali pada waktu malam , dimana Afiah akan tidur berterusan antara 4 ke 6 jam..
Jadi, apa yang saya lakukan adalah setelah Afiah tidur lebih kurang sejam, saya akan mula panaskan susunya.. Saya gunakan warmer jingle-jungle..
Selepas itu, saya akan memerhatikannya dengan lebih kerap.. Sebaik saja Afiah menunjukkan tanda-tanda yang beliau lapar dan akan tersedar dari tidur, saya akan terus memberikan beliau susu melalui botol..
Oleh kerana pada waktu ini biasanya beliau dalam keadaan separuh sedar, beliau tidak akan perasan bahawa beliau menghisap puting tiruan.. Hahaha..
Afiah kenyang tanpa tangisan.. Yezzaaaa!
Biasanya juga selepas 15 ke 30 minit, saya tetap perlu berikan Afiah breast cuma kali ini bukanlah beliau menghisap kerana lapar sebaliknya cuma menghilangkan ketagihannya saja.. Layan ajerlah.."
2. Tolak EBM .. lebih suka yang fresh

Teknik yang boleh digunakan :

Mulakan dengan memberi bayi minum susu perahan segar / fresh.. maknanya susu yang diperah pada hari yang sama.. jangan terus beri ebm yang beku.. Kerana, rasa ebm bekuk kurang enak berbanding yang segar..

Manfaatnya, ibu boleh dielak daripada bermalas-malasan mengepam yang akhirnya menyebabkan pengeluaran susu berkurangan.

Dan, selepas baby biasa dengan rasa ebm, barulah beransur-ansur memberikannya ebm yang diperah semalam, 2 hari sebelum, 3 hari sebelum dan akhirnya ebm beku.

3. Bau susu

Teknik : periksa peti sejuk / freezer

- Kadang-kadang susu ebm yang disimpan dengan produk-produk beku lain seperti lauk pauk dan makanan lain boleh menyebabkan susu ebm berbau seperti makanan yang kita simpan.
- So make sure makanan dan minuman yang disimpan bersama ebm di seal dengan sempurna. atau simpan dalam bekas yang bertutup rapat seperti tupperware. 

Akhir sekali, jika kita telah melakukan semua yang terbaik untuk baby kita, anak masih tetap tidak mahu minum susu dari botol, usahlah terburu-buru dan risau.. banyakkan berdoa pada Allah, kuatkan dan tabahkan hati dan emosi.

Perhatikan perkembangan anak untuk tempoh 2 minggu ke 1 bulan.. Selagi anak kita sihat, aktif, ceria dan berat badannya maintain (tak semestinya sebab insyirah berat tak naik2 hehhe) tiada apa yang kita perlu risau samada anak minum susu mencukupi atau tidak..

Apa yang anak kita minum itulah yang diperlukan olehnya. Penyusuan susu ibu itu mencukupi tanpa mengambil kira berapa oz yang telah diminum dalam sehari..

Keep on positive thinking, pumping dan simpan stok... insyaAllah.. doa kita akan dimakbulkan Allah kelak... ok! 

Nota ummi : rindu saat2 menyusu... akan cerita tentang macamana insyirah wean-off dengan ummi dia satu hari nanti :)

Assalam,

Tuesday, May 29, 2012

Alhamdulillah.. ijazah dalam genggaman!


Assalamualaikum,

Lama betul tak update diari ni.. dah bersarang dah.. hehe.
Agak sibuk dengan pelbagai perkara, urusan peribadi, keluarga dan kerja.
Dan semestinya saya amattt rindu pada diari ini. hehe.

Banyak betul yang hendak dicoretkan sebagai simpanan diri, kerana banyak betul peristiwa yang berlaku dalam bulan Mei 2012 ni. tapi tak apalah.. tulis sikit-sikit.. hopefully dapat cerita satu persatu buat tatapan anak di masa hadapan :)


8 Mei 2012.. tarikh bersejarah untuk aina.. lama sudah aina tunggu untuk dapatkan segulung ijazah ini..

Daripada bergelar seorang anak gadis, bekerja di bawah dua agensi, hingga bergelar isteri orang dan ibu kepada Annur Insyirah... alhamdulillah akhirnya penat lelah saya berbayar dengan Majlis Konvokesyen Yang Ke-48.. agak istimewa kerana konvo kali ni bersama adik saya yang kelima, Norul Hidayah, fakulti yang sama, di bawah Academic Advisor (a.k.a abang ipar saya hehe) yang sama.. cuma course yang berlainan. Aina pengkhususan Sistem Maklumat, adik pula pengkhususan Multimedia.


Dua kali konvo, dalam dua keadaan dan situasi diri yang berbeza.

Pertama kali dulu sewaktu diploma, saya seorang anak gadis, lebihkan kawan dan orang lain daripada keluarga. Hati mak ayah dan adik-adik terusik.. sedih sekali bila teringatkan peristiwa dulu. Dan kerana itu, saya selalu berdoa pada Allah agar diberi kekuatan untuk habiskan pengajian dan seterusnya ada rezeki untuk menghadiri konvo kali kedua.. dan yang pasti, tumpuan saya untuk mak ayah, yang sentiasa ada di samping saya susah dan senang..

Alhamdulillah hasrat saya termakbul.. .saya sangat2 gembira :-)

Ucapan terima kasih yang amat istimewa buat mak ayah, abang, adik-adik, sahabat-sahabat seperjuangan... banyak betul budi baik dan bantuan yang telah diberi sepanjang perjuangan saya menuntut ilmu... dan tak akan mungkin dilupakan..


Ayah.. terima kasih kerana berusaha untuk membantu k.na menghadiri majlis suai-kenal dan hantar borang di hujung minggu setelah saya membuat keputusan untuk sambung belajar.. pergi balik johor dalam masa sehari dengan kesihatan diri yang kurang baik pada waktu itu.. saya sangat terharu..

Mak... terima kasih kerana pagi-pagi lagi telah sediakan makan minum untuk k.na sebelum pergi ke utm... bila balik sediakan makan minum k.na dan sediakan sajian untuk k.na bila k.na studi... bila dah ada anak, mak lah tolong jaga insyirah waktu saya perlu pergi belajar dan abang kerja..

Abang.. terima kasih kerana menjaga insyirah dan uruskan rumahtangga sepanjang ketiadaan sayang pergi belajar.. Ada masa, aina tidak punya stok susu di rumah, abanglah yang ke hulu ke hilir menemani saya, tolong saya jaga insyirah di surau atau bilik sementara saya masuk ke kelas..

Adik-adik.. terima kasih kerana membantu k.na jaga insyirah, dan ikut k.na ke kelas tolong jaga insyirah di surau sementara menanti k.na masuk kelas.. kerana stok susu yang amat berkurangan waktu itu...

Ramai yang bertanya seronokkah belajar.. apa perasaan saya bergelar pekerja + pelajar PJJ + isteri?
Buat mereka yang bertanya dan sahabat-sahabat yang ingin menyambung pengajian.. inilah jawapan saya...
"Apapun yang kita hendak buat berdasarkan NIAT kita. Biarlah kerana Allah.. kerana menuntut ilmu setinggi yang boleh itu jihad dan tinggi nilainya di sisi Allah.. berfikiran positif sentiasa, pasti cabaran sukar yang dihadapi sepanjang pengajian dapat dilalui dengan tenang dan tabah.. InsyaAllah.."

Assalam,

Wednesday, May 02, 2012

Alhamdulillah... syukur :-)


Assalamualaikum dan selamat pagi rakan-rakan pembaca semua :-)

Alhamdulillah, Allah beri saya kesempatan untuk mengecap nikmat hidup hingga ke saat ini. Syukur dan gembira rasanya hati bila tanggal 2 Mei 2012 saya masih lagi dapat bernafas menghirup udara segar di pagi hari. Tambahan bila ada abang dan anak di sisi.

Bulan Mei tahun 2012 ni banyak memberi berita gembira kepada saya. Hari ni jam 3.00 petang saya dilahirkan.. dan seminggu lagi saya akan memiliki sesuatu yang diperjuangkan selama 7 tahun kebelakangan ini. Akan datang, ada lagi peristiwa yang akan mengiringi, syukur alhamdulillah.. :-)

Pagi ni, dalam perjalanan ke pejabat, ditemani slot motivasi pagi di radio ikim.fm, terkenang kembali saat-saat dari kecil, remaja dan kini meningkat dewasa orang di sekeliling membuat pelbagai aktiviti istimewa khas untuk menyambut hari lahir saya. Saya masih ingat mak masak makanan kegemaran sy, datang bersama ayah dan adik-adik di hujung minggu di asrama waktu bersekolah di sekolah menengah dahulu. Juga sewaktu disambut oleh adik-adik yang di bawah jagaan saya sewaktu di asrama dulu.

Bila masuk ITD di Kelantan, lain pula cara adik-adik dan kawan-kawan buat surprise birthday party untuk saya. Dibaling tepung, telur kampung dan bedak... hehehe.. macam-macam :-)

Terima kasih mak ayah, terima kasih adik-adik, terima kasih sahabat dan semua kawan-kawan, terima kasih adik-adik yang pernah satu dorm dan rumah dulu :-)

Sekarang dah menginjak dewasa, dah berumahtangga, dah ada yang punya dan dah ada anak, lain pula caranya.. :-)

Terima kasih buat abang tersayang atas hadiah yang diberi :-)

Dan.. walaupun saya tau saya tak berkesempatan untuk buka fb hari ini kerana dah kena block, terima kasih banyak-banyak atas ucapan dan ingatan semua.. i'm really appreciate it ;) saya akan cuba reply semua ucapan insyaAllah :)

Terima kasih Allah ... :-)

Assalam,

Thursday, April 19, 2012

Bersederhanalah....

Assalam, dan salam sejahtera..

Artikel ustaz hasrizal benar-benar menjentik minda saya. Kecil-kecil dahulu selalu terperasan sendiri, apa yang diungkap pasti akan kembali pada diri. Yang selalu sedar bila kata-kata negatif dilontarkan. Walau ia tidaklah memberi kesan yang besar pada diri, namun ia banyak membantu dan mengajar saya agar sentiasa berhati-hati dengan mulut dan hati tiap kali bereaksi dengan sesuatu keadaan dan berbicara.

Namun sejak dewasa, memasuki alam pekerjaan dan dunia rumahtangga, semakin luas pergaulan, semakin banyak bicara dan karenah manusia yang dihadapi, semakin saya memahami maksud 'terkena tulah sendiri'. Alhamdulillah peranan yang dimainkan oleh emak saya amat besar dalam hidup kami anak-anaknya, lantaran sejak kecil lagi kami diasuh agar berhati-hati dengan setiap kata hati dan mulut, agar kena pada tempat, keadaan dan kelompok manusia yang dituju. Agar marahnya kerana Allah, agar tegurannya berbentuk positif kerana kasihi sesama manusia, agar tidak terguris hati manusia.


Cuma... keadaan kadang mengganggu. Pusing ke kanan, atau pusing ke kiri, ada sahaja yang tidak kena dipandangan manusia... 'sekeping hati' yang hidup di dalam dada seorang yang bergelar wanita kadang terguris di fitnah dan di kata itu dan ini..

Namun.. kekuatan itu hadir dengan tarbiah dan kelazatan nikmat hidup yang Allah beri lantaran sifat sabar dan redha dalam hati.

Cuma kadang-kadang terfikir sendiri, mengapa manusia selalu menyalahkan orang lain dan sekeliling andai kata-kata yang dilontarkan kembali pada diri sendiri?

Mungkinkah tiada nilai muhasabah dalam diri?
Mungkinkah tiada rasa bersalah atas apa yang dicelotehi?
Mungkinkah tiada rasa kesal dengan kata-katanya yang pernah mengguris hati?

Saya tidak tahu... saya hanya mampu berdoa agar diberi kekuatan, kesabaran dan berlapang dada menerimanya..

Kerana saya tahu...

Kebahagiaan dan kesihatan itu rezeki yang tidak ternilai..
Kelazatan cinta Allah itu juga rezeki yang tiada tolok bandingnya..
Ketenangan itu rezeki yang mudah diperolehi, namun sukar dirasai..

Jadi, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan membina aura positif dalam diri dan orang di sekeliling kita ... :-)

Assalam,

Tuesday, April 17, 2012

Pureen Stock Clearance kembali lagi!

Sekadar mempromosikan bagi pihak ibu-ibu...
Jom serbu! hehehe..


Assalam,

Monday, April 09, 2012

Insyirah.. insyirah...

She's my love... my heart.. my everything...

Kisah 1:
"
Ummi.. ummi nangis ye...?
Ala sayang-sayang.. janganlah nangis, insyirah ada..
Nanti insyirah sedih..."

Sambil mengesap lembut air mata di pipi dengan kain yang asalnya insyirah guna untuk dijadikan lampin untuk dipakaikan pada baby nya yang baru saja selesai dibasuh tahinya.

Itu adegan yang terjadi beberapa kali... tiap kali lihat ibunya menangis... sejak insyirah tau tentang erti emosi dan perasaan.. dah banyak kali ummi nak coretkan dalam diari anak ummi ni tapi asyik terlupa saja.

Tapi sebab ummi rasa nak tergelak sangat sebab insyirah pujuk ummi masa ummi tengok ceramah ustaz dalam tv pada hari cuti yang lepas, cepat2 ummi ambil laptop dan coretkan, takut terlupa.

Kisah 2 :
Ummi batuk, tidak berhenti..
Insyirah yang leka bermain dengan 'baby' nya terdiam dan lihat ummi terbatuk-batuk di sofa.
Insyirah terus berhenti main.. lari meluru ke arah ummi dan tanya, "Ummi, ummi batuk ye? ummi sakit ke..?"
Ummi tak sempat nak jawab apa kerana batuk yang bersambung, insyirah terus lari ke arah meja makan, dan ambil bekas air, .. ummi nampak insyirah berusaha untuk menuang air.. hingga tertumpah atas meja. tapi yang buat ummi rasa kelakar... insyirah cari jalan untuk lap air yang tumpah atas meja itu dulu! hehhehe....
Bila dah berjaya lap air atas meja.. dengan secepat yang mungkin insyirah bawa cawan yang berisi air ke arah ummi dan minta ummi minum air... sambil menepuk2 belakang ummi, mungkin hasratnya nak tengok batuk ummi reda.

Dalam hati, ummi rasa sayu sendiri...

Itulah insyirah..

Ummi sendiri tak pasti mana insyirah dapat semua tu... tapi ummi rasa bangga yang amat...

Insyirah memang dah pandai meniru. macam-macam yang ditirunya, baik yang baik dan yang buruk. Jadi... ummi dan ayah semakin perlu berhati-hati dengan pelbagai perkara... apa yang dibaca, apa yang didengar, persekitaran dan semuanya... semuanya perlukan pengorbanan untuk anak ummi sayang nie.. hehe...
Copyright © 2015 Nasnizal's Sweet Love..
| Distributed By Gooyaabi Templates