Featured

Tuesday, May 29, 2012

Alhamdulillah.. ijazah dalam genggaman!


Assalamualaikum,

Lama betul tak update diari ni.. dah bersarang dah.. hehe.
Agak sibuk dengan pelbagai perkara, urusan peribadi, keluarga dan kerja.
Dan semestinya saya amattt rindu pada diari ini. hehe.

Banyak betul yang hendak dicoretkan sebagai simpanan diri, kerana banyak betul peristiwa yang berlaku dalam bulan Mei 2012 ni. tapi tak apalah.. tulis sikit-sikit.. hopefully dapat cerita satu persatu buat tatapan anak di masa hadapan :)


8 Mei 2012.. tarikh bersejarah untuk aina.. lama sudah aina tunggu untuk dapatkan segulung ijazah ini..

Daripada bergelar seorang anak gadis, bekerja di bawah dua agensi, hingga bergelar isteri orang dan ibu kepada Annur Insyirah... alhamdulillah akhirnya penat lelah saya berbayar dengan Majlis Konvokesyen Yang Ke-48.. agak istimewa kerana konvo kali ni bersama adik saya yang kelima, Norul Hidayah, fakulti yang sama, di bawah Academic Advisor (a.k.a abang ipar saya hehe) yang sama.. cuma course yang berlainan. Aina pengkhususan Sistem Maklumat, adik pula pengkhususan Multimedia.


Dua kali konvo, dalam dua keadaan dan situasi diri yang berbeza.

Pertama kali dulu sewaktu diploma, saya seorang anak gadis, lebihkan kawan dan orang lain daripada keluarga. Hati mak ayah dan adik-adik terusik.. sedih sekali bila teringatkan peristiwa dulu. Dan kerana itu, saya selalu berdoa pada Allah agar diberi kekuatan untuk habiskan pengajian dan seterusnya ada rezeki untuk menghadiri konvo kali kedua.. dan yang pasti, tumpuan saya untuk mak ayah, yang sentiasa ada di samping saya susah dan senang..

Alhamdulillah hasrat saya termakbul.. .saya sangat2 gembira :-)

Ucapan terima kasih yang amat istimewa buat mak ayah, abang, adik-adik, sahabat-sahabat seperjuangan... banyak betul budi baik dan bantuan yang telah diberi sepanjang perjuangan saya menuntut ilmu... dan tak akan mungkin dilupakan..


Ayah.. terima kasih kerana berusaha untuk membantu k.na menghadiri majlis suai-kenal dan hantar borang di hujung minggu setelah saya membuat keputusan untuk sambung belajar.. pergi balik johor dalam masa sehari dengan kesihatan diri yang kurang baik pada waktu itu.. saya sangat terharu..

Mak... terima kasih kerana pagi-pagi lagi telah sediakan makan minum untuk k.na sebelum pergi ke utm... bila balik sediakan makan minum k.na dan sediakan sajian untuk k.na bila k.na studi... bila dah ada anak, mak lah tolong jaga insyirah waktu saya perlu pergi belajar dan abang kerja..

Abang.. terima kasih kerana menjaga insyirah dan uruskan rumahtangga sepanjang ketiadaan sayang pergi belajar.. Ada masa, aina tidak punya stok susu di rumah, abanglah yang ke hulu ke hilir menemani saya, tolong saya jaga insyirah di surau atau bilik sementara saya masuk ke kelas..

Adik-adik.. terima kasih kerana membantu k.na jaga insyirah, dan ikut k.na ke kelas tolong jaga insyirah di surau sementara menanti k.na masuk kelas.. kerana stok susu yang amat berkurangan waktu itu...

Ramai yang bertanya seronokkah belajar.. apa perasaan saya bergelar pekerja + pelajar PJJ + isteri?
Buat mereka yang bertanya dan sahabat-sahabat yang ingin menyambung pengajian.. inilah jawapan saya...
"Apapun yang kita hendak buat berdasarkan NIAT kita. Biarlah kerana Allah.. kerana menuntut ilmu setinggi yang boleh itu jihad dan tinggi nilainya di sisi Allah.. berfikiran positif sentiasa, pasti cabaran sukar yang dihadapi sepanjang pengajian dapat dilalui dengan tenang dan tabah.. InsyaAllah.."

Assalam,

Wednesday, May 02, 2012

Alhamdulillah... syukur :-)


Assalamualaikum dan selamat pagi rakan-rakan pembaca semua :-)

Alhamdulillah, Allah beri saya kesempatan untuk mengecap nikmat hidup hingga ke saat ini. Syukur dan gembira rasanya hati bila tanggal 2 Mei 2012 saya masih lagi dapat bernafas menghirup udara segar di pagi hari. Tambahan bila ada abang dan anak di sisi.

Bulan Mei tahun 2012 ni banyak memberi berita gembira kepada saya. Hari ni jam 3.00 petang saya dilahirkan.. dan seminggu lagi saya akan memiliki sesuatu yang diperjuangkan selama 7 tahun kebelakangan ini. Akan datang, ada lagi peristiwa yang akan mengiringi, syukur alhamdulillah.. :-)

Pagi ni, dalam perjalanan ke pejabat, ditemani slot motivasi pagi di radio ikim.fm, terkenang kembali saat-saat dari kecil, remaja dan kini meningkat dewasa orang di sekeliling membuat pelbagai aktiviti istimewa khas untuk menyambut hari lahir saya. Saya masih ingat mak masak makanan kegemaran sy, datang bersama ayah dan adik-adik di hujung minggu di asrama waktu bersekolah di sekolah menengah dahulu. Juga sewaktu disambut oleh adik-adik yang di bawah jagaan saya sewaktu di asrama dulu.

Bila masuk ITD di Kelantan, lain pula cara adik-adik dan kawan-kawan buat surprise birthday party untuk saya. Dibaling tepung, telur kampung dan bedak... hehehe.. macam-macam :-)

Terima kasih mak ayah, terima kasih adik-adik, terima kasih sahabat dan semua kawan-kawan, terima kasih adik-adik yang pernah satu dorm dan rumah dulu :-)

Sekarang dah menginjak dewasa, dah berumahtangga, dah ada yang punya dan dah ada anak, lain pula caranya.. :-)

Terima kasih buat abang tersayang atas hadiah yang diberi :-)

Dan.. walaupun saya tau saya tak berkesempatan untuk buka fb hari ini kerana dah kena block, terima kasih banyak-banyak atas ucapan dan ingatan semua.. i'm really appreciate it ;) saya akan cuba reply semua ucapan insyaAllah :)

Terima kasih Allah ... :-)

Assalam,

Thursday, April 19, 2012

Bersederhanalah....

Assalam, dan salam sejahtera..

Artikel ustaz hasrizal benar-benar menjentik minda saya. Kecil-kecil dahulu selalu terperasan sendiri, apa yang diungkap pasti akan kembali pada diri. Yang selalu sedar bila kata-kata negatif dilontarkan. Walau ia tidaklah memberi kesan yang besar pada diri, namun ia banyak membantu dan mengajar saya agar sentiasa berhati-hati dengan mulut dan hati tiap kali bereaksi dengan sesuatu keadaan dan berbicara.

Namun sejak dewasa, memasuki alam pekerjaan dan dunia rumahtangga, semakin luas pergaulan, semakin banyak bicara dan karenah manusia yang dihadapi, semakin saya memahami maksud 'terkena tulah sendiri'. Alhamdulillah peranan yang dimainkan oleh emak saya amat besar dalam hidup kami anak-anaknya, lantaran sejak kecil lagi kami diasuh agar berhati-hati dengan setiap kata hati dan mulut, agar kena pada tempat, keadaan dan kelompok manusia yang dituju. Agar marahnya kerana Allah, agar tegurannya berbentuk positif kerana kasihi sesama manusia, agar tidak terguris hati manusia.


Cuma... keadaan kadang mengganggu. Pusing ke kanan, atau pusing ke kiri, ada sahaja yang tidak kena dipandangan manusia... 'sekeping hati' yang hidup di dalam dada seorang yang bergelar wanita kadang terguris di fitnah dan di kata itu dan ini..

Namun.. kekuatan itu hadir dengan tarbiah dan kelazatan nikmat hidup yang Allah beri lantaran sifat sabar dan redha dalam hati.

Cuma kadang-kadang terfikir sendiri, mengapa manusia selalu menyalahkan orang lain dan sekeliling andai kata-kata yang dilontarkan kembali pada diri sendiri?

Mungkinkah tiada nilai muhasabah dalam diri?
Mungkinkah tiada rasa bersalah atas apa yang dicelotehi?
Mungkinkah tiada rasa kesal dengan kata-katanya yang pernah mengguris hati?

Saya tidak tahu... saya hanya mampu berdoa agar diberi kekuatan, kesabaran dan berlapang dada menerimanya..

Kerana saya tahu...

Kebahagiaan dan kesihatan itu rezeki yang tidak ternilai..
Kelazatan cinta Allah itu juga rezeki yang tiada tolok bandingnya..
Ketenangan itu rezeki yang mudah diperolehi, namun sukar dirasai..

Jadi, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan membina aura positif dalam diri dan orang di sekeliling kita ... :-)

Assalam,

Tuesday, April 17, 2012

Pureen Stock Clearance kembali lagi!

Sekadar mempromosikan bagi pihak ibu-ibu...
Jom serbu! hehehe..


Assalam,

Monday, April 09, 2012

Insyirah.. insyirah...

She's my love... my heart.. my everything...

Kisah 1:
"
Ummi.. ummi nangis ye...?
Ala sayang-sayang.. janganlah nangis, insyirah ada..
Nanti insyirah sedih..."

Sambil mengesap lembut air mata di pipi dengan kain yang asalnya insyirah guna untuk dijadikan lampin untuk dipakaikan pada baby nya yang baru saja selesai dibasuh tahinya.

Itu adegan yang terjadi beberapa kali... tiap kali lihat ibunya menangis... sejak insyirah tau tentang erti emosi dan perasaan.. dah banyak kali ummi nak coretkan dalam diari anak ummi ni tapi asyik terlupa saja.

Tapi sebab ummi rasa nak tergelak sangat sebab insyirah pujuk ummi masa ummi tengok ceramah ustaz dalam tv pada hari cuti yang lepas, cepat2 ummi ambil laptop dan coretkan, takut terlupa.

Kisah 2 :
Ummi batuk, tidak berhenti..
Insyirah yang leka bermain dengan 'baby' nya terdiam dan lihat ummi terbatuk-batuk di sofa.
Insyirah terus berhenti main.. lari meluru ke arah ummi dan tanya, "Ummi, ummi batuk ye? ummi sakit ke..?"
Ummi tak sempat nak jawab apa kerana batuk yang bersambung, insyirah terus lari ke arah meja makan, dan ambil bekas air, .. ummi nampak insyirah berusaha untuk menuang air.. hingga tertumpah atas meja. tapi yang buat ummi rasa kelakar... insyirah cari jalan untuk lap air yang tumpah atas meja itu dulu! hehhehe....
Bila dah berjaya lap air atas meja.. dengan secepat yang mungkin insyirah bawa cawan yang berisi air ke arah ummi dan minta ummi minum air... sambil menepuk2 belakang ummi, mungkin hasratnya nak tengok batuk ummi reda.

Dalam hati, ummi rasa sayu sendiri...

Itulah insyirah..

Ummi sendiri tak pasti mana insyirah dapat semua tu... tapi ummi rasa bangga yang amat...

Insyirah memang dah pandai meniru. macam-macam yang ditirunya, baik yang baik dan yang buruk. Jadi... ummi dan ayah semakin perlu berhati-hati dengan pelbagai perkara... apa yang dibaca, apa yang didengar, persekitaran dan semuanya... semuanya perlukan pengorbanan untuk anak ummi sayang nie.. hehe...

Monday, April 02, 2012

Di manakah nilai iman kita?


Sekadar bercerita...

Satu petang saya ke sebuah hypermarket.. setelah puas mengira dan memilih barang, tiba masa untuk membuat bayaran di kaunter bayaran. Kebetulan tak ramai orang di kaunter, saya pilih saja kaunter yang kosong. Kedengaran sok.. sek.. sok.. sek.. dua orang petugas perempuan kaunter A dan B berbual (bermaksud saya beratur di kaunter A, membelakangi petugas kaunter B yang berbual dengan petugas A tempat saya membuat bayaran).

Alangkah terkejutnya saya.. tiba-tiba keluar ayat ni daripada petugas kaunter A, "... tu aku pakai tuala. kalau aku bogel..? haa maunya.... bla.. bla.. bla.." Ya Allah... terkejut, terkedu. Saya tak pasti apa reaksi yang perlu saya beri. Tegur? owh... budak-budak sekarang bukan boleh ditegur.. Yang pasti muka saya merah... marah, sedih, malu bercampur-baur dalam hati. Hampir saja saya tinggalkan tempat itu dan terus menuju keluar dari tempat tersebut. Tapi saya terpaksa kuatkan hati 'membiarkan saja' perkara itu, dan terus membayar dalam jumlah yang mencukupi lantas berlalu pergi..

Di dalam hati... saya berfikir, di manakah tahap nilai iman masyarakat Islam kita?

Hingga ke malam hari, mood memikirkan masa depan anak dara saya terngiang-ngiang di fikiran.. semoga Allah memberi saya dan abang kekuatan dalam memberi didikan Islam dan keteguhan iman yang sesempurna mungkin.. dalam membentuk anak-anak kami sebagai penghuni syurga kelak... amin...

Assalam,

Monday, March 26, 2012

Mata Lebah vs Mata Lalat

"Mata lebah walau di tempat busuk tetap dicari bunga yang wangi dan segar, dititip madu ditempat tinggi, apabila diambil oleh kita menjadi satu nikmat kesihatan dan bahagia.."

- VERSUS -

"Mata lalat walau di taman yang cantik dan wangi tetap mencari sampah yang kotor dan busuk, andai dihinggap pada minuman atau makanan kita akan tersebarlah najis dan kekotoran itu, lantas sakitlah kita..."
Dengan kata lain,

Mata lebah, walau dihadapkan dengan perkara yang sukar dan dugaan atau cabaran hidup yang besar, tetap akan berfikiran positif kerana yakin dengan Allah bahawa tiap sesuatu yang berlaku itu ada hikmah besar disebaliknya.. hasil daripada sifat positif itu, akan mengeluarkan aura positif bagi orang sekeliling dan dirinya, lantas akhirnya dengan sabar mencari jalan dan menyelesaikan setiap perkara itu hingga kejayaan dan kebahagiaan akhirnya dikecapi :)

Tetapi....

Mata lalat, walau berada di tempat atau suasana terbaik tetap akan mencari dan berfikir negatif terhadap sesuatu. Dirinya hanya akan menimbulkan aura negatif di sekeliling nya, boleh jadi kuman atau virus yang bahaya dalam suatu kelompok masyarakat atau agensi. Seringkali kegagalan dan kekecewaan akan melanda dirinya..

Fikir-fikirkan...

Adakah kita tergolong dalam mata lalat atau mata lebah? :)

Assalam,

Friday, March 23, 2012

Kisah lucu waktu azan

Gambar yang tiada kaitan dengan cerita :)

Sudah menjadi lumrah Insyirah, tiap kali dengar azan, Insyirah akan cepat2 ambil remote control tv minta ditutup suara tv. Dan akan letak jarinya di bibir sambil berkata "Sssyyhhh.."

Alhamdulillah, walaupun Insyirah belum faham betapa besarnya azab menanti jika kita tidak menghormati azan, namun Insyirah disiplin tentang peraturan 'diam' itu. Kalau ummi tak sempat ajar tentang kebaikan menghormati azan, Insyirah tanya ayah atau ustaz ustazah lain ye..

Oklah... ummi nak cerita tentang kisah lucu waktu azan ini.

Pada suatu hari kita semua sekeluarga pulang ke Kelantan, menziarahi tok gi (nenek ummi), duduk di Pasir Puteh, rumah Tok Long dan Tok Chik.

Petang lepas asar, kita semua wat makan-makan barbeque.. seekor kambing lagi tu.. hampir menjengah ke petang, terdengar azan maghrib di udara.. Insyirah macam biasa tutup mulut dan kata "Sssyyhhh.." kat semua orang yang bersuara. Tu tak apa lagi.. yang kelakar bila tiba-tiba..

Tok chik datang dari arah belakang ke meja tempat kita makan dan tegur, "Bagusnya.. insyirah makan sendiri.." sambil tersenyum...

Tapi.. apa yang tok chik dapat ialah..

Perkataan "Sssyyhhh.." dari insyirah... hehehehhe... :)

Merah muka tok chik terus pergi dari situ..

Aduhai anak ummi.. ms tu ummi memang malu, tapi ummi tahu itu bukan sesuatu yang salah :)

Nota Ummi : Kadang-kadang anak kecil yang tidak berdosa mampu mengubah dunia :)

Cerita teladan : sang burung dan kawan-kawannya

Saya suka dengar segmen Motivasi Pagi di radio, baru-baru ni dengan Ustaz Badli Shah Alaudin, sejak beliau jadi penceramah jemputan, tiba-tiba rating pendengar segmen tersebut tinggi. Beliau hanya membawa cerita-cerita ringan untuk dibicara dan direnung-renungkan, namun menjentik minda dan jiwa yang mendengar :-)

Salah satu cerita yang menarik perhatian saya.. tentang sang burung.. mari kita amati bersama..

Pada suatu pagi yang sejuk, seekor burung berterbangan di awan.. cuaca terlalu sejuk, hingga burung tersebut membuat keputusan supaya segera mencari tempat berteduh.

Terbang dan terbang lagi... sang burung akhirnya hinggap di suatu tempat..

(Baru saja melepaskan lelah yang ada, tiba-tiba sang burung terkejut kerana badannya dilencunkan dengan sesuatu. Owh.. tahi... pusing kanan, pusing kiri, rupa-rupanya sang burung ini hinggap di tempat lembu menginap rupanya...) - pengajaran 1

(Syukur dalam hati sang burung kerana dalam kegelisahan 'bermandikan' tahi lembu itu, )-pengajaran 2(
datang seekor kucing mengelap2 badannya... gembiranya sang burung itu kerana ada kawan yang membantu membersihkan tubuhnya. namun, setelah bersih, akhirnya burung itu di makan oleh kucing tersebut.. ) - pengajaran 3



Pengajaran daripada kisah teladan ini;
1. Belum tentu tempat yang kita rasa selesa betul-betul selesa, kita harus sentiasa berwaspada dan meletakkan kebergantungan kita pada Allah agar sesuatu yang kita peroleh itu mendapat keredhaan-Nya..

2. Minda positif akan memberikan maklumbalas yang positif terhadap apa sahaja yang berlaku lantas mewujudkan rasa syukur kepada Allah. Musibah yang datang tentu ada hikmah besar yang Allah ingin beri atau tunjukkan kepada kita. Kadang-kadang musibah lah pencetus kemajuan kita :-)

3. Berwaspadalah kepada mereka yang berbuat baik kepada kita, belum tentu yang berbuat baik pada kita itu, adalah kawan atau sahabat kita..

Assalam,

Wednesday, February 08, 2012

Kenduri perkahwinan episod 2

Keluarga besar kami... di majlis perkahwinan adik lelaki dan perempuan kami (Bangi) bersama -sama dengan cik su dan ayah su(kiri), emak ayah, dan mak da.

Alhamdulillah... kedua-dua adik lelaki dan perempuan aina telah selamat diijabkabulkan..
Norul Hidayah a.k.a 'aru' selamat dinikahkan oleh ayah kami pada hari Jumaat, 3 Feb 12 selepas solat Jumaat.
Kenduri perkahwinan menyambut menantu diadakan pada keesokan harinya, 4 Feb 12 (Sabtu)..
Dan kenduri menyambut menantu di sebelah Batu Gajah diadakan di Perak pada 5 Feb 12 (Ahad)
Walaupun agak sedikit penat, kami sekeluarga bersama-sama berkonvoi ke Kelantan untuk melawat mek dan tok ayah yang sedang sakit.. dan selamat pulang kembali ke bangi pada hari Selasa... alhamdulillah... layan ajelah gambar-gambar ni ehh... :)

Pengantin lelaki, Zubair dan Aisha dan pengantin perempuan, Aru dan Noh bersama-sama mak ayah dah Insyirah (mesti.. hehe)

Kami yang serba hijau di majlis akad nikah aru...

Kami di majlis bertandang aru di Batu Gajah, Perak..
Kami dan pengantin.. hehe...

Saya tak tahu kenapa saya sebak, tiap kali lihat gambar-gambar perkahwinan adik-adik saya... mungkin banyak yang telah dilalui keluarga kami terutamanya mak ayah yang telah melahirkan dan membesarkan kami, mungkin juga telah banyak cabaran dan dugaan yang telah aina dan abang lalui, selalu berdoa agar adik-adik kami tidak melalui cabaran getir yang kami lalui dan agar perjalanan rumahtangga yang dibina oleh mereka manis-manis belaka... amin...

Assalam,

Tuesday, January 31, 2012

Jalan2 Makan2..

Gambar2 gelagat insyirah dengan teddy bear a.k.a baby nya di pizza hut...



tengok tu... insyirah bagi baby makan!
siap ade tisu takut tumpah kena baju! hehehehe..
makan elok2 yerrr....


anak yang manja ;-)

Monday, January 30, 2012

Kenduri perkahwinan episod 1

Entry kali ini ada episod, kerana berlaku 2 minggu berturut-turut,
melibatkan 5 majlis, dengan 2 pasangan pengantin..
Alhamdulillah... rezeki Allah bagi pada mak ayah,
bicara keluarga awal tahun ini bermula dengan penerimaan 2 orang menantu,
seorang perempuan, dan seorang laki bakal menantu lelaki..
28 Jan 2012 lepas, alhamdulillah majlis akad nikah adik lelaki pertama, Zubair berjalan lancar di Klang. Dengan sekali lafaz, Aisha Ishak sah menjadi miliknya.
Bertambah lagi ahli baru, daripada 10 orang adik beradik, kini menjadi 11 orang.. :)
Dan jumlah semua.. 15 orang lah semua ahli keluarga En. M. Ashaari dan Pn. Noriah :)
Saya sedar.. semua ini bukan mudah untuk dilalui ayah dan emak dalam melalui hari-hari melahir dan membesarkan kami hingga sekarang.. :-)
Pasangan lama, hehe... aina dan suami, ramai tegur gambar ini nampak kami letih, tapi tak pe, untuk adik-adik kami redah aje.. :) Terima kasih abang atas pertolongan dan khidmat yang diberi sepanjang perjalanan majlis :)
Keesokan harinya, 29 Jan 2012, kenduri perkahwinan sebelah perempuan di Klang.. kami di pihak lelaki serba biru, cantik pengantin dengan pakaian hijau turqoisse nya hehe.
Perkahwinan.. medan terbaik untuk memberi... tentu sahaja banyak onak dan duri.. namun jika kita mampu melaluinya dengan hati yang positif kerana Allah.. nescaya hati akan bahagia dan kehidupan kita tenang setenangnya..

Nantikan episod 2 kenduri perkahwinan adik perempuan pula ye!

Salam bahagia ;-),

Thursday, January 19, 2012

Hati ibu.. Hati bapa..

Mesej Puan Haza di fb KIM
(sila klik untuk membaca lebih jelas)

Ini mesej Puan Haza, owner produk Lunatots cawangan Putrajaya di fb Kump. Ibu2 Menyusu. Syahdu saya membacanya. Jujur saya tabik kepada semua suami (termasuk abang) yang berusaha untuk mencari ilmu tentang breastfeed, mencari ubat-ubatan dan produk kesihatan tambahan seperti Maajun Anggun Bistari dan ABM Collagen untuk isteri-isteri mereka.

Saya pernah mendapat panggilan daripada seorang ayah, mencari beg penyejuk susu ibu, saya dengar suara isterinya yang baru sahaja beberapa hari bersalin di sebelah. Saya pernah juga mendapat panggilan daripada seorang suami yang mencari produk untuk membantu isterinya sihat kerana tidak sampai hati melihat keletihan isterinya. Saya sangat kagum! :)

Kepada mereka yang tidak merasa atau tidak terbuka lagi hati dan minda para suami dan bapa, jangan anda sedih, jangan anda risau, percaya Allah itu Maha Memberi, berdoa banyak-banyak agar perasaan itu timbul di hati suami kelak. Semua ini perkara baru untuk kita dan mereka, pandai-pandailah kita mencari jalan menambat hati mereka, ye! Suatu hari, mereka akan tau tidak akan luntur ego hanya kerana hal2 begini ;-)

Nota Ummi : terima kasih, abang! :)

Assalam,

Wednesday, January 18, 2012

Mas Kahwin vs Hantaran

Assalamu'alaikum wbt..

Dah lama saya ingin perkatakan tentang hal yang satu ini.. Rakaman rancangan Bicara Mualamat Radio Ikim.Fm pada hari Rabu, 23hb November 2011 yang boleh di lihat di sini tentang isu mas kahwin dan hantaran menyuntik semangat saya untuk 'memperjuangkan' perkara ini.

Alhamdulillah isu ini juga mula diperkatakan oleh beberapa ustaz dan ustazah yang lain. Tidak hanya menjelaskan tentang "kadar mas kahwin yang berbeza antara negeri", memberi rasa tidak faham bagi yang tidak tahu hal agama dan rasa "oklah tapi hantaran tetap tinggi" bagi bakal suami.

Saya sebenarnya tidak tahu tentang besarnya isu ini di mata masyarakat Malaysia.. kerana kebetulan tidak timbul isu mas kahwin di kalangan saudara mara yang berkahwin, ada juga yang berkahwin dengan mereka di luar negeri Kelantan namun bakal ahli keluarga baru tidak mempersoalkan ketegasan pihak keluarga kami menetapkan hanya wang mas kahwin diterima oleh keluarga kami beserta barang-barang hantaran sampingan yang diletakkan atas dulang.

Terdahulu, di hari pertunangan aina juga, pihak keluarga abang bertanya soalan, "Berapa nilai hantaran?" ayah long dan ayah aina hanya menjawab, "Kami tidak kisah, ikutlah kadar kemampuan bakal suami. Cuma..... (-mood terdiam seketika-) saya mau agar semua wang yang ingin diberi dijadikan mas kahwin, cukup sekadar itu, kami tidak terima wang hantaran.." Keluarga abang yang hadir hanya terdiam, masa itu keluarga aina pun tidak tahu, diam tanda faham atau sebaliknya. Anggukan dan senyuman diterima, jadi orang-orang tua di sebelah pihak keluarga kami hanya menyambutnya tanda pihak lelaki bersetuju.

Alhamdulillah, syukur ia tidak menjadi satu isu besar walaupun baru pertama kali berlaku sebegitu. Lumrah agaknya, berkahwin dengan pasangan dari negeri timur, begitulah caranya. Tiada wang hantaran, hanya mas kahwin. Syukur kerana pihak lelaki menyambut 'cara' kami dengan gembira.

Namun, di hari pernikahan kami, bila akad disambut oleh bakal suami, terdengar bisikan2 kecil di belakang (kalangan rakan taulan) "Kalau mas kahwin pun dah banyak ni, wang hantaran pulak banyak mana ye? kalau sama, bergandalah!" bila cerita itu sampai di telinga saya, sedih rasanya. "Masih ada yang janggal tentang ilmu agama rupanya", bisik hati menenangkan diri.

Setelah berkahwin dan berbincang dengan abang, barulah saya tahu itulah kali pertama berlaku di kalangan beliau dan teman-teman rapatnya. Dan setelah mencari info, barulah saya tau juga bahawa 'besar dan tinggi' nya nilai hantaran berbanding mas kahwin di kalangan masyarakat kita. Ya Allah... hati terfikir bagaimana saya nak pertahankan perkara ini bila tiba masa anak kami akan dinikahi satu hari nanti..

"Adakah ini adat negeri kelantan..?"
"Kalau orang susah, macamana pula...?"

Soalan yang sering diajukan kepada saya bagi mereka yang tidak berpuas hati dengan 'cara' kami.

"Ini soal agama, bukan adat.." -> namun kerana cetek agama, saya tidak mampu berbahas menggunakan nas Al-Quran mahupun hadith nabi..

"Nanti tak ada rasa tanggungjawab pulak bakal suami kalau tak da hantaran" -> kalau dijadikan mas kahwin tentu bakal suami akan lebih rasa bersemangat dan bertanggungjawab untuk cari rezeki bagi memberi hadiah (mas kahwin) yang dah tentu khas untuk bakal isterinya, kan?

"Tinggi martabat seorang isteri adalah yang rendah mas kahwinnya di kalanganmu.." -> rasanya semua orang pernah dengar, jika bakal suami tidak mampu, cukuplah sekadar memberi naskhah Al-Quran sebagai mas kahwin atau dalam lain-lain bentuk..

"Kenduri kahwin hanya untuk mewar-warkan tentang anak kita yang telah berkahwin dan mengelak fitnah, buatlah sekadar termampu." -> teringat saya, jemputan seorang ulama' untuk kenduri anak perempuannya, hanya jamuan makan pulut dan dibungkuskan nasi dan diedarkan untuk ahli2 masjid, betapa barakahnya perkahwinan anaknya. cakap2 orang? tak perlu fikirkan.. fikirkan tentang apa Allah kata, bukan manusia :)

Hati saya selalu berbisik, "Semoga isu ini akan dibangkitkan oleh para alim ulama'... semoga terbuka minda masyarakat dengan perbahasan yang telah diutarakan mereka.. ini isu agama, bukan adat.."

Jika bakal suami ada lebih wang, ingin membantu menampung perbelanjaan bakal isteri dan bakal mertua, eloklah kiranya 'perkara itu' berlaku antara bakal suami dan bakal isteri. Diberikan sebagai hadiah untuk membantu bakal mertua, tentu lebih menggembirakan hati bakal menantu yang tidak merasa beban dengan kaedah itu. Malah tiada unsur campur tangan di kalangan makcik-makcik dalam keluarga. Bayangkanlah perasaan 'takut', 'bosan' yang dialami oleh para lelaki sebelum meminang anak-anak perempuan kita, bagaimana kita hendak menangani isu buang anak dan seks bebas sedangkan perkara pokok ini tidak tangani terlebih dahulu. Kekuatan institusi keluarga yang kita bina bergantung kepada barakahnya permulaan kepada pembinaan keluarga itu (yakni akad nikah, kenduri perkahwinan dsb).

Dan... sebagaimana saya memperjuangkan tentang "Mengumpul sedikit wang untuk bersalin dengan Doktor Wanita di hospital Islamik" dan "Penyusuan susu ibu secara eksklusif sehingga 2 tahun", begitulah saya akan cuba memperjuangkan isu ini...

Nota :
"Mahar @ mas kahwin ialah pemberian yang wajib diberikan oleh lelaki kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya. Ia juga disebut sebagai mas kahwin. Hukumnya adalah wajib berdasarkan surah an-Nisa: ayat 4. Jumlah mahar yang wajib dibayar akan ditentukan oleh walinya jika perempuan itu masih kecil, tetapi sudah baligh atau janda boleh ditentukan oleh perempuan itu sendiri. Mahar boleh dibayar dengan pelbagai cara yang mempunyai nilai atau faedah tertentu berdasarkan persetujuan bersama seperti rumah, kebun, mengajar atau membaca al-Quran, mengajar ilmu agama, senaskah kitab al-Quran, sejadah sembahyang, pakaian sembahyang atau sebagainya. Malah ia boleh dibayar secara tunai, bertangguh atau berhutang. Jika mahar berhutang, suami wajib membayarnya setelah melakukan persetubuhan atau persetubuhan secara syubhah atau salah seorang mati. Jika suaminya mati, waris suami wajib membayarnya kepada ahli waris isterinya. Jika diceraikan sebelum bersetubuh, hutang mahar wajib dibayar separuh daripada nilainya kepada bekas isterinya, jika sudah dibayar tetapi belum bersetubuh, maka isteri wajib memulangkan separuh daripadanya. Jika isteri meminta fasakh, mereka belum bersetubuh, dan mahar masih berhutang, suaminya tidak wajib membayarnya. Jika sudah dibayar, bekas isteri wajib memulangkan kesemua jumlah mahar tersebut."

Assalam,

Thursday, January 12, 2012

Tirai 2012..

Ummi, Insyirah dan ayah :)

Assalam anak ummi, lama rasanya ummi tak update blog anak ummi ni. Macam2 ummi nak cerita, tapi ummi tak sempat, kadang2 bila kita terkejar2 dalam menyiapkan banyak perkara, terasa nikmat masa lapang itu sangat berharga. Sebab itu, kita kena belajar jadi seorang yang sentiasa positif dan berlapang dada, insyaAllah hati akan sentiasa tenang ye nak :)

Oklah.. membuka tirai 2012 ni, saja ummi nak titipkan cerita tentang pertemuan ayah dan ummi.. Saja ummi nak bercerita, sebab ummi nak anak ummi tau asal usul perkahwinan kami, semoga anak ummi sentiasa bersyukur dan menghargai keluarga kita. 30-11-11 yang lepas, jam 4.53 petang, alhamdulillah genap 4 tahun ummi dan ayah selamat diijabkabulkan. Ummi masih ingat detik2 itu sampai sekarang, kalau insyirah nak tau apa yang jadi, insyirah boleh tengok CD yang ada dalam album perkahwinan kami ye :)

Anak ummi, pertemuan ayah dan ummi mulanya diatur oleh keluarga. En. Azam, sahabat nenek di pejabatnya, juga merupakan jiran sebelah rumah ayah di Serdang. Ayah direkemen oleh En. Azam kepada nenek untuk dikenalkan kepada ummi. Setelah nenek dan tok ayah bersetuju dengan akhlak dan budi baik ayah yang diceritakan oleh En. Azam, mereka sampaikan berita beserta sekeping gambar ayah kepada ummi. Ummi yang pada masa itu tidak berkawan dengan sesiapa, menerima salam perkenalan daripada ayah, tanggal 28 Julai 2006, jam 11.30 mlm.. dengan hanya 3 mesej di telefon..

Sejak dari hari itu, kami hanya bertanya khabar dan menyampaikan berita melalui telefon sahaja, tanpa bersua muka.. 2 minggu berbalas mesej, akhirnya ummi bersetuju untuk memberi gambar melalui email kepada ayah..

Satu hari, ayah mesej pada ummi, ingin berjumpa di luar, tidak keruan ummi dibuatnya. Jujur ummi katakan, ummi belum bersedia pada masa itu. Hanya baru menerima ayah sebagai seorang kawan biasa sahaja. Atas bantuan sahabat ummi, ummi hanya membalas sms ayah dengan ayat begini, "..Kalau nak jumpa saya, kena jumpa orang tua saya dulu."... namun benar kata orang, jika betul orang serius ingin berkawan dengan kita, tentu dia tidak akan menolak permintaan untuk bertemu dengan orang tua. Keesokan malamnya, untuk pertama kali, ayah dan ummi bertemu, hanya bersua untuk seketika, selebihnya ayah hanya berbual dengan nenek dan tok ayah.

Dan mungkin kerana jodoh kami, juga kerana tok ayah sangat2 berkenan dengan cerita2 yang telah diberitakan oleh En. Azam, dan juga berkenan dengan ayah bila pertama kali bersua, tok ayah terus sahaja bertanya pada malam itu, samada ayah benar2 sukakan ummi dan ingin mengambil ummi sebagai suri hidup, dan perancangan ayah seterusnya. Rasa lembik lutut ummi bila dengar semua tu, hehe.

Dari situlah semuanya bermula, nak... kami hanya bertemu bertemankan makcik2 insyirah, hanya apabila ada apa2 barang yang ingin disampaikan. Lokasi pertemuan? hehe.. Masjid UPM, Serdang.. sampai sekarang, kalau lalu situ, ummi akan senyum sorang2.. :) Dengan ayah ni, ummi tak merasa dating sebelum kahwin... Tapi itulah uniknya ayah, dia banyak mengingatkan tentang hubungan kami yang belum sah di sisi agama dan menghadkan jika mula terlebih. Mungkin anak ummi boleh ambil ia sebagai panduan bila mula berkenal2an kelak ye.. Jika mereka sayang kita, mereka akan jaga maruah kita, jaga adat dan agama, dan menghadkan jika mula terlebih dari sudut bicara atau laku.

Terlalu banyak perkara berlaku sebelum dan di awal perkahwinan nak, itulah resam hidup.. pertemuan dua buah keluarga yang sedikit berbeza, namun alhamdulillah ayah seorang yang sangat fleksibel dan amat memahami, kami bersama-sama selesaikan masalah yang timbul alhamdulillah.. :)

Nak... ummi selalu berdoa, semoga anak ummi akan bertemu jodoh seperti kami, pertemuan kami hanya kerana Allah... kami tidak mengenali sesama sendiri, hanya mengikut takdir Allah.. hanya solat istikharah dan hajat pemudah keputusan.. kami hanya mula berkenalan dan bercinta setelah berkahwin..

Nak...
Ayahmu bukan seorang yang sempurna, namun ummi senang hati kerana beliau sudi belajar.. :)
Ayahmu bukan seorang yang romantik, namun itulah yang buat ummi rasa istimewa, ummi lah orang pertama merasa sifat romantik yang dipelajarinya.. :)
Ayahmu bukan sahaja suami ummi, tapi dialah ayah terbaik kepada anak ummi yang comel ini :)
yahmu amat sukar dimengerti kesedihannya, kerana jarang sekali wajahnya duka kerana sentiasa ceria gembirakan hati ummi.. :)

Nak... bila ingin berumahtangga, janganlah mencari pasangan kita, tapi carilah bakal ayah atau ummi kepada anak-anak kita... biarpun ada banyak ciri yang perlu ada pada pasangan kita, namun ketahuilah apabila kita utamakan yang tinggi agama dan akhlaknya maka akan berbahagialah kita kelak... kebahagiaan itu ketenangan, dari cinta Ilahi lah terbit cinta sesama insan, di situlah ketenangan abadi, maka jagalah cinta kita dengan Allah serta raihlah ia.. syurga dunia itu apabila rumahtangga itu dipenuhi mawaddah dan rahmah.. dan betapa besarnya nikmat bercinta selepas berkahwin, kerana, selama manapun kita rasa kita kenal seseorang, masih ada lagi yang kita tidak tau selagi kita tidak berkahwin. ingat semua ni ye.. :)

Selamat malam, nak.. :)

Begini, Sayang!

Tajuk blog ni bukan tanda marah atau resah hati, tapi tajuk sebuah buku.. :) Kerisauan hati seorang yang bergelar ummi membuatkan saya mencari buku-buku dan majalah untuk dibaca, sekurang-kurangnya dapat memberi persediaan yang patut untuk hadapi karenah anak di kemudian hari. Bak kata orang, "budak zaman sekarang, tak sama dengan kita dulu2", didikan perlu selari dengan zaman mereka. Selalu berdoa agar Allah didik diri dan suami agar dapat menjadi yang terbaik untuk anak-anak, dalam usaha kami untuk menjadi ummi dan ayah yang terbaik untuk mereka.

Di Pesta Buku 2011 PWTC Mac 2011 yang lalu, antara booth yang menjadi pilihan saya adalah Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Alhamdulillah Allah perkenankan hasrat saya untuk mencari buku yang sesuai untuk menjawab pertanyaan2 luarbiasa anak-anak. Inilah bukunya bertajuk Begini, Sayang! ditulis oleh En. Mohd Hisyam Mohd Sharif dan isterinya, Pn Hasifah Zainuddin. Banyak info-info yang boleh diprakktikan oleh ibu dan ayah seperti kita. Recommmended untuk semua :-)

Info Buku:
Tajuk Buku : Begini, Sayang!
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
Penulis : En. Mohd Hisyam Mohd Sharif & Pn. Hasifah Zainuddin

Selamat membaca :)

Assalam,

Tuesday, January 03, 2012

Salam Tahun Baru :)


Lama betul menyepi daripada menukilkan sesuatu dalam diari ni. Sekadar menjadi pembaca setia blog sahabat2 dan pakar2 motivasi. Rasa syukur dalam diri masih lagi dapat hidup dengan pancaindera yang sempurna anugerah Ilahi. Kadang-kadang kita lupa nikmat yang paling dekat dengan diri iaitu nikmat hidup, mungkin itulah sebab kita sering berfikir perkara-perkara lain yang lebih 'jauh' untuk dinikmati.. namun, semakin dunia menginjak dewasa, semakin dekatlah kita dengan hari-hari terakhir kita di dunia ini.

Hujung beberapa bulan di tahun lepas, alhamdulillah diberi kesempatan untuk bercuti bersama-sama keluarga mertua. Bermula dengan majlis pertunangan adik ipar di Gombak, rombongan meneruskan perjalanan ke Melaka, dan mengakhirnya di Johor. Pengalaman bercuti bersama mereka amat seronok, riuh dengan suara anak-anak saudara yang masih kecil dan ramai. Cuti sekolah yang ada kami gunakan untuk bawa Insyirah berjalan-jalan, cadangnya ingin ke tempat percutian, tapi terpaksa dibatalkan saat-saat akhir kerana masalah teknikal. Jadi hanya membawa insyirah ke KLCC, jalan-jalan ke Aquaria.

Bercakap tentang KLCC, jalan dari Jalan TAR ke KLCC amat lengang walaupun ianya pada waktu cuti umum dalam waktu mengenjak tengahari. Mungkin ramai antara kita yang bercuti di luar agaknya, sama seperti agenda asal kami. Kami keluar dari Aquaria lebih kurang jam 1.00 petang, namun rasa terkejut apabila Taman KLCC dipenuhi dengan orang-orang asing! Seperti berjalan di tempat orang pula rasanya. Hehe. Memang benar kata kebanyakan orang, agar tidak membawa anak-anak ke Taman KLCC, risau dengan penuhnya umat manusia luar yang pelik2 pakaian dan perangainya!

Penutup hujung tahun saya diakhiri dengan majlis doa selamat sempena ulang tahun perkahwinan kami. Alhamdulillah majlis yang dirancang berjaya dilaksanakan bersama seluruh ahli keluarga. Sekejap je rasanya, dah 4 tahun kami bersama. Masih terngiang-ngiang dan terbayang lafaz nikah yang diucapkan oleh abang menyambut tangan bakal ayah mertuanya ketika itu. Rasa seperti baru semalam ia berlaku. Ramai yang ingin tahu tentang cerita pertemuan kami, insyaAllah saya akan ceritakan bila ada masa terluang. Yang pasti telah banyak perkara berlaku dalam hidup kami suami isteri, alhamdulillah ia merapatkan hubungan kami, dan saya amat berharap agar saya akan sentiasa di sisinya hingga ke syurga nanti, aminn...

Tahun 2012 yang menjelang ni, banyak harapan dan semangat baru dalam diri, semoga semua urusan dipermudahkan Allah dan mendapat keberkatan dariNya. Kepada pelanggan-pelanggan baru dan lama setia bersama kami di butikna, nantikan promosi hebat yang akan dijalankan serta berita istimewa untuk anda ya! :)

Selamat Tahun Baru semua, ceria-ceria selalu ya :-)

Assalam,

Monday, November 28, 2011

Salam Ma'al Hijrah 1433

Ma'al Hijrah 1433 baru sahaja bermula. Salam penghijrahan untuk semua.. sana sini ceramah agama dan motivasi banyak berkisar tentang penghijrahan.. beberapa hari lepas baru saja bercerita dengan beberapa orang sahabat dan suami tentang penghijrahan ini. Bukan menganalisis tentang kebaikan dan keburukan diri, namun melalui satu proses muhasabah dan transilasi diri kami..

Habis topik itu, tiba-tiba timbul pertanyaan tentang "sukarnya menjadi orang yang baik".. sayu dan kasihan saya mendengar. Simpati.. Saya faham situasi yang dihadapi. Kesulitan dan pelbagai reaksi negatif yang diperoleh daripada sekeliling daripada kebaikan dan reaksi positif. Hasil daripada perbualan2 kami tentang perkara inilah yang saya rasa ingin dicoretkan dalam diari ini. Andai anak-anak dan rakan taulan membaca, insyaAllah akan diingati, mungkin dapat membantu walau hanya sedikit.

Apa yang boleh saya simpulkan ialah, bila kita rasa down tentang sesuatu perkara, ingatlah bahawa; sifat syukur dan taqwa pada Allah melebihi segala-galanya. Umum ketahui bahawa telah ditanam dalam hati setiap makhluk Allah bergelar manusia untuk menjadi baik. Syukurilah jika jiwa dan jasad kita telah terarah ke arah kebaikan. Sifat berlapang dada, bersangka baik, dan fokus niat segala perbuatan dilakukan hanya kerana dan untuk Allah, amat membantu kita menangkis segala reaksi negatif dari sekeliling..

Rasa dipulaukan, rasa diketepikan, oleh insan bergelar manusia, ketepikanlah... ia bukan senang untuk melalui, anggap ia satu cabaran.. yang penting fikirkan tentang dunia akhir dan kekal kita akan datang, samada dipulaukan atau diketepikankah kita oleh Allah dan Nabi Muhammad s.a.w?

Assalam,
Copyright © 2015 Nasnizal's Sweet Love..
| Distributed By Gooyaabi Templates